Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood (kiri) menunjukkan lokasi pusat pengundian DUN N.32 Seri Setia selepas sidang media di Putrajaya, Selangor. foto MIRZA HASIM, 8 OGOS 2018

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan DUN Seri Setia diadakan serentak.

Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, mesyuarat hari ini memutuskan tarikh penamaan calon di kedua-dua DUN berkenaan diadakan pada 18 Ogos, manakala hari mengundi 8 Septembar.

Katanya, tempoh berkempen agak panjang iaitu 21 hari bermula pada hari penamaan calon 18 Ogos hingga jam 11.59 malam 7 September.

“PRK DUN Seri Setia dan DUN Balakong dibuat serentak bagi memudahkan urusan semua pihak termasuk dari segi logistik, keselamatan dan kemudahan petugas,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas bagi PRK berkenaan di ibu pejabat SPR di sini, hari ini.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ng Tien Chee pada 20 Julai lalu dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga.

Manakala kekosongan kerusi DUN Seri Setia berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu akibat kanser usus (Colon Cancer) tahap empat. – MalaysiaGazette