KUALA LUMPUR – Peguam bela Tan Sri Mohammad Shafee Abdullah berkata, tiga pertuduhan tambahan yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi 3 Jalan Duta hari ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kapal Equanimity.
“Kes ini bukan kes 1MDB, ini kes SRC, tidak ada kaitan dengan bot besar. Saya beranggapan ia kebetulan dengan waktu ketibaan kapal mewah di Pelabuhan Klang yang ternyata dipercayai untuk mengelirukan keadaan.
“Kes ini tidak kena mengena dengan bot besar yang tiba di Port Klang, jadi saya anggap ia secara tak sengaja.
“Mungkin orang beranggapan bahawa kes hari ini mungkin ada kaitan dengan kapal mewah itu dan 1MDB…sebenarnya takda kena mengena langsung,” katanya kepada pemberita prosiding pendakwaan ke atas Najib di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini selesai.
Pada sidang media itu, Muhammad Shafee memaklumkan bahawa pihaknya telah mengemukakan surat terbuka kepada Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim berhubung isu pertukaran hakim dalam pendengaran dan prosiding kes Najib.
Dalam surat itu, beliau mempersoalkan mengenai pertukaran Hakim Jenayah 3 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Indera Mohd Sofian Abd. Razak ke Bahagian Sivil 10, mahkamah yang sama.
Manakala Mohd Nazlan Mohd Ghazali pula mengambil alih tempat Hakim Mohd Sofian berkuatkuasa 1 Ogos tanpa proses terbuka dan kes Najib akan dikendalikan Mohd Sofian.
Katanya, beliau tidak mempunyai sebarang isu dengan mana-mana hakim bahagian jenayah di Mahakamah Tinggi Kuala Lumpur dalam mendengar kes termasuk kes Najib.
Tetapi, beliau merasakan bahawa sistem pendaftar di Putrajaya tidak sensitif dengan proses pertukaran hakim yang sepatutnya dijalankan secara telus dan terbuka.
“Apa yang berlaku bukan salah hakim tetapi sistem pendaftar yang tidak sensitif,” ujar beliau.
Najib hari ini dihadapkan ke Mahkamah Tinggi 3 atas tiga pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wanng Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFA) 2001.
Beliau didakwa menerima hasil aktiviti haram melibatkan sejumlah RM42 juta ke dalam akaun miliknya.
Ketiga-tiga pertuduhan tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.
Najib mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan dan minta dibicarakan. – MalaysiaGazette
















