Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud hadir pada perbincangan berkaitan hubungan diplomatik dan ekonomi dan Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Antara Malaysia dan Arab Saudi di Seri Perdana, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 27 FEBRUARI 2017
Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud

KUALA LUMPUR – Penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) merupakan pengiktirafan khas Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud kepada Malaysia, justeru keputusan untuk menghentikan operasinya yang dibuat secara unilateral boleh menjejaskan hubungan akrab kedua-dua negara yang telah lama terjalin.

Kebimbangan itu disuarakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang terlibat secara langsung dari awal penubuhan KSCIP mewakili kerajaan Malaysia dalam siri perundingan dengan kerajaan Arab Saudi.

“Penubuhan KSCIP merupakan pengiktirafan khas Raja Arab Saudi Raja Salman Bin Abdul Aziz Al-Saud kepada Malaysia yang dikagumi baginda sebagai negara yang mengamalkan model Islam berteraskan prinsip Wasatiyyah.

“ Arab Saudi juga bersetuju untuk membiayai sepenuhnya segala kos operasi KSCIP termasuk pembinaan bangunannya, dengan matlamat agar Malaysia dapat mempromosi wajah Islam sebenar kepada dunia terutamanya dalam menangani isu-isu ekstrimisme dan terorisme global,” katanya dalam kenyataan di sini.

Semalam Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengumumkan keputusan kerajaan untuk menutup KSCPI serta merta. Dalam jawapannya kepada Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto (PH-DAP), Mohmad Sabu berkata, pejabat KSCIP di Menara HLA di Jalan Ampang juga diarahkan ditutup segera.

Mengulas lanjut, Asyraf berkaata, hubungan akrab Malaysia-Arab Saudi melalui kebijaksanaan kepimpinan terdahulu juga telah memberikan natijah positif kepada rakyat khususnya dalam hal ehwal pengurusan Haji.

Seiring dengan penubuhan KSCIP tahun lepas juga, katanya, Kerajaan Arab Saudi telah menambah kuota Haji sehingga mencecah 30,000, iaitu antara penerima kuota tambahan terbesar.

Selain itu, hasil hubungan akrab dua negara ini juga segala kemudahan dan keistimewaan dinikmati Jemaah Haji Malaysia tahun ini termasuklah kemudahan khemah berhawa dingin di Arafah dan perkhidmatan perlepasan segera (fast-track) kepada Jemaah haji yang tiba di Lapangan Terbang Jeddah dan Madinah tanpa perlu menunggu lama.

“Keputusan ini juga dikhuatiri akan menjejaskan usahasama ekonomi berskala besar seperti pelaburan berjumlah RM 31 billion oleh Saudi Aramco di dalam projek Rapid Petronas Pengerang. Projek ini membawa kepada pewujudan kerja-kerja berpendapatan tinggi serta menjadikan Malaysia hub petrokimia terpenting di rantau ini.

“Justeru, saya berharap pihak Kerajaan Malaysia dapat mengambil pendekatan lebih berdiplomasi dan berhikmah dengan menghantar delegasi mengadap Raja Arab Saudi bagi menzahirkan hasrat kerajaan.

“Ini sekaligus memastikan hubungan akrab Malaysia-Arab Saudi terpelihara dan rakyat dapat terus menikmati natijah positif daripada hubungan ini,” katanya. – MalaysiaGazette