Alexis Sanchez.

LONDON – Alexis Sanchez menggesa Manchester United agar membeli pemain-pemain yang berpengalaman dalam usaha bersaing pada peringkat lebih tinggi, lapor The Sun.

Sanchez mengakui United memerlukan ramai pemain terkenal jika ingin merangkul piala dalam Liga Perdana Inggeris atau Liga Juara-Juara musim depan.

“United perlu memiliki impian menang semua piala. Kami kelab besar dan telah mengharungi pra musim serta melakukan perkara yang betul ketika latihan.

“Di United, kami perlu mencari pemain-pemain yang berpengalaman seperti Barcelona yang mendapatkan Arturo Vidal iaitu pemain hebat dalam pasukan saya di Chile.

“Dia antara contoh pemain yang perlu kita dapatkan untuk bersaing merangkul trofi di peringkat tertinggi,” ujar Sanchez yang menyertai United dari Arsenal musim lalu dengan kontrak gaji 500,000 pound seminggu.

Pada Rabu, United dikatakan akan mencapai persetujuan bagi mendapatkan pemain baharu keempat sebelum jendela perpindahan ditutup pada tengah malam ini.

Sebelum ini, pengurus Jose Mourinho berharap akan mendapatkan seorang lagi pemain baharu selepas timbul hubungan panas dengan Ketua Eksekutif kelab, Ed Woodward.

United telah berbelanja 75 juta pound bagi mendapatkan Fred, Diogo Dalot dan Lee Grant namun Mourinho bimbang ia tidak cukup kuat untuk mendekatkan jarak dengan juara bertahan, Manchester City. – MalaysiaGazette