Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggesa agar bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar mendedahkan lokasi wang bayaran balik tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.5 bilion yang ‘disembunyikan’.

Ujar Guan Eng, perkara itu berlaku ketika Irwan memegang jawatan tersebut dan seharusnya beliau tahu perkara sebenar mengenai dakwaan yang dibuat beliua di Dewan Rakyat semalam.

“Ia (wang pembayaran balik) tiada, kalau ada sudah tentu kita bayar kembali.

“Kalau Tan Sri Mohd Irwan kata ia (duit) ada di situ, kita nak beliau beritahu di mana beliau menyembunyikannya.

“Mungkin dia tahu sesuatu yang kita semua tidak tahu,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Irwan sebelum ini menafikan tuduhan Guan Eng bahawa dana kutipan hasil GST sebanyak RM18 bilion hilang dari Tabung Amanah Bayaran Balik (GST).

Ujarnya, tidak adil bagi Ahli Parlimen Bagan itu untuk menuduh kerana wang tersebut perlu dimasukkan dahulu ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan sebelum diagihkan.

“Perkataan ‘dicuri’ itu terlalu tidak adil. Duit itu dicuri oleh siapa? Sekarang dia kata hilang pula. Dia asyik tukar kata-kata sahaja,” katanya hari ini.

Mengulas perkara itu, Guan Eng mengakui ada mendengar mengenainya, tetapi belum meneliti kenyataan Irwan.

“(Dakwaan) bukan beliau yang buat keputusan? Itu reaksi yang didengar, tetapi saya tak tengok lagi kenyataannya.

“Kita biar siasatan dalaman dulu,” katanya. -MalaysiaGazette