Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JULAI 2018
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR Datuk Johari Abdul berkata beliau secara peribadi telah menawarkan kerusi Parlimen Sungai Petani yang disandangnya bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding.

Pengerusi Majlis Ahli-Ahli Backbencher itu berkata beliau telah menyatakan  kesudiannya itu ketika menemui Anwar semalam.

“Saya berbesar hati sekiranya beliau memilih Sungai Petani, kami bincang panjang semalam tetapi beliau tidak komen apa-apa (berhubung tawaran itu),” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Katanya Sungai Petani ialah antara kerusi Parlimen selamat untuk ditandingi dan penduduk kawasan tersebut semestinya bangga kerana akan mempunyai seorang  Anggota Parlimen yang juga bakal perdana menteri.

Johari juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi Anggota Parlimen senior akan menawarkan kerusi mereka kepada Anwar, yang menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR.-BERNAMA