Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berkata, parti itu tidak perlu untuk mempertahankannya.

Beliau yakin akan dapat mempertahankan dirinya dan berharap mendapat perbicaraan yang adil dan telus.

“Saya juga yakin tidak bersalah terhadap segala pertuduhan yang dibuat. Kesalahan saya hanyalah kerana melakukan yang terbaik demi rakyat, negara dan parti saya,” katanya dalam Facebook rasminya sebentar tadi.

Najib kini berdepan dakwaan atas tiga lagi pertuduhan dibawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLA) 2001 pada Rabu.

Tambah Najib, segala tuduhan dan fitnah adalah terhadap beliau dan bukannya ditujukan kepada UMNO.

“Tidak adil untuk UMNO menanggung beban ini.

“Sebagai sebuah parti yang berjaya membawa Malaysia hampir meraih status ekonomi maju dan menikmati ketenteraman dan keamanan sejak merdeka, jasa UMNO kepada negara tidak dapat dinafikan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Najib dikritik oleh ahli parti itu antaranya  Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang tidak bersetuju Najib dibawa berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis baru-baru ini.

Kata Johari, UMNO kini berdepan dengan persepsi masyarakat yang menolak parti itu pada pilihan raya umum lalu.

“Di PRK Sungai Kandis baru-baru ini kita juga dapat melihat bekas perdana menteri dan bekas presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak telah berkempen dengan begitu aktif.

“Memandangkan kes mahkamah Najib masih belum lagi dibicarakan dan mengambil kira persepsi korupsi dan pecah amanah yang masih lagi membelengungi beliau, apakah strategi UMNO mengetengahkan Najib sebagai salah seorang tokoh yang aktif berkempen bagi PRK Sungai Kandis baru-baru ini suatu strategi yang bijak?” soal Johari yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua yang dilantik Najib.

Memberikan respon, Najib berkata, kemunculannya di PRK Sungai Kandis baru-baru ini dibuat dengan niat yang baik iaitu mahu memenangkan calon BN.

Ujarnya, calon BN, Datuk Lokman Noor Adam sendiri meminta bantuannya untuk berkempen di kawasan tersebut.

Katanya, BN berdepan dengan cabaran getir merampas kerusi dewan undangan negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH).

“Saya tidak mempunyai sebarang hasrat untuk menjadi Presiden UMNO lagi.

“Kepimpinan baru UMNO perlu diberikan kepercayaan dan ruang untuk membuktikan kepimpinan mereka bagi mendapatkan kepercayaan rakyat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast