Dr. Asri Zainul Abidin.
Dr. Asri Zainul Abidin.

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sekali lagi mempelawa aktivis, Siti Kasim untuk berdialog secara terbuka berkaitan isu golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Mufti Perlis itu berkata, Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim pernah dijemput untuk majlis dialog terbuka berkaitan isu Islam di Malaysia tetapi ditolak dengan pelbagai alasan.

Katanya, Siti wajar dipelawa sekali lagi untuk berdialog berkenaan LGBT memandangkan suaranya lantang dalam isu berkenaan.

“Hari ini beliau bising lagi pasal LGBT, seakan-akan undi beliau dan golongan LGBT sahaja yang menyebabkan kerajaan hari ini memerintah.

“Sangat tidak matang cara bahasa dan gaya yang dipertontonkan, apatah lagi jika mahu diukur dari nilai budaya Timur dan Nusantara kita yang santun dan berbudi bahasa.

“Sangat janggal. Bimbang jika watak seperti itu dilihat oleh anak-anak kita yang masih mentah,” katanya dalam kenyataan merujuk kepada sikap peguam yang sering mencetuskan kontroversi itu.

Mohd Asri berkata, beliau membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang bersedia untuk menjadi penganjur bagi dialog bersama Siti.

Tegasnya, jika pelawaan itu tidak disambut, Perlis akan menjemput beliau untuk dialog tersebut secara terbuka dan adil.

“Saya harap ada pihak yang boleh menganjurkan dialog itu. Saya percaya, terdapat ramai tokoh ataupun aktivis masyarakat yang boleh dipilih untuk mewakili suara majoriti rakyat yang tidak menerima LGBT,” ujarnyanya. – MalaysiaGazette