Azizulhasni Awang.

KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan terhadap kesalahan fakta dikeluarkan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerusi laporan sebuah akhbar baru-baru ini.

Perkara itu telah menyebabkan beliau menyuarakan ketidakpuasan hati di akaun Instagram miliknya.

Luah Azizulhasni, tindakannya tersebut bukan mahu mengeruhkan keadaan tetapi kenyataan yang diberikan Datuk Abu Samah Abdul Wahab itu memberi kesan negatif kepada beliau terutamanya apabila dibaca pihak penaja.

Kelmarin, Azizulhasni meluahkan rasa berang di Instagramnya, Azizulhasniofficial, dengan merujuk kenyataan akhbar bertajuk “Azizulhasni sukar ke Sukan Olimpik 2020” dan “Misi Selamatkan Azizul’, dan menyifatkan fakta yang diberikan Abu Samah adalah salah.

“Saya tidak marah tetapi terkilan apabila sebuah kenyataan akhbar dikeluarkan bukan sekali tetapi dua kali, laporan kedua selepas saya menghubungi Datuk Abu Samah sendiri. Terkilan sangat kerana kenyataan dikeluarkan salah.

“Presiden juga tidak pasti dengan Sistem Kelayakan Olimpik terkini. Jadi bagi saya sendiri, secara profesional, kalau kita tidak pasti dengan sesuatu perkara jangan buat sebarang kenyataan. Kita perlu pastikan fakta diberikan betul.

“Wartawan juga perlu pastikan maklumat ditulis betul. Impaknya kepada prestasi, karier serta kredibiliti saya. Penaja saya turut terkesan. Sebab itu saya tampil memberikan penjelasan, bukan kerana saya marah atau emosi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini semalam.

Azizulhasni berkata entri terkini dalam akaun Instagramnya itu adalah penjelasan kepada kesalahan fakta dalam laporan sebuah akhbar arus perdana bertarikh 5 Ogos dan 7 Ogos.

Dalam akaun Instagramnya itu bertajuk, ENOUGH WITH THE NONSENSE,  Azizulhasni meluahkan kekecewaan terhadap kenyataan Abu Samah yang tidak pasti dengan Sistem Kelayakan Olimpik, serta menggunakan beliau sebagai ‘kambing hitam” untuk mendapatkan tajaan.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku, sedangkan saya ada dua minggu lagi sebelum ke Sukan Asia, keluar pula cerita yang salah.

“Sepatutnya persatuan menyokong serta memahami atlet mereka. Ketika ini kami perlu memberikan fokus seratus peratus kepada persediaan mental dan fizikal, waktu ini amat kritikal dan atlet perlu berada dalam kondisi terbaik,” jelas Azizulhasni. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast