Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng bercakap pada sidang media mengenai hutang RM1 Trillion di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2018
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Laporan penuh siasatan dalaman kehilangan wang pembayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan disiapkan secepat mungkin, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Siasatan tersebut diketuai oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang baharu, Datuk Seri Ismail Bakar.

Kementerian katanya akan membuat cadangan kepada perdana menteri dan kabinet supaya satu siasatan terbuka dilakukan oleh ahli professional.

Guan Eng yang menafikan tuduhan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menegaskan kekurangan RM18 bilion dalam pembayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak berlaku dalam masa sebulan sebaliknya sejak tiga tahun lalu.

“Perlu diingat Menteri Kewangan sahaja yang boleh mengarahkan bayaran balik GST ditangguhkan melebihi tempoh dua minggu atau pembayaran GST dibuat ke dalam Akaun Hasil Disatukan dan bukannya Tabung Amanah untuk Akaun Pengembalian GST mengikut Seksyen 54 Akta GST 2014,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng turut mempersoalkan apakah Najib telah memberikan kuasa penuh kepada bekas KSP, Tan Sri Irwan Serigar supaya tidak memindahkan wang berjumlah RM18 bilion ke dalam Akaun Tabung Amanah GST.

“Seperti bosnya, Irwan juga tidak jujur apabila mendakwa semua pembayaran balik GST dibuat menerusi Akaun Hasil Disatukan tetapi tidak menjelaskan kenapa beliau enggan memindahkan RM18 bilion ke dalam Akaun Tabung Amanah GST,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam mengeluarkan kenyataan jabatan tersebut ada memohon supaya RM82.9 bilion dimasukkan ke dalam Tabung Amanah GST semasa mesyuarat bulanan Tabung Amanah yang dipengerusikan Irwan sejak 2015 tetapi tidak dilaksanakan.

Subromaniam juga mengesahkan RM19.4 bilion masih belum dipindahkan sehingga 31 Mei lalu. -MalaysiaGazette