Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media selepas menyaksikan pameran seni Tun M: A Forever Legacy di Universiti Perdana, Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 12 OGOS 2018.

SERDANG – Malaysia sedang mengadakan perbincangan dengan Singapura untuk membawa pulang jet peribadi yang didakwa milik jutawan Low Taek Jho.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ada pihak dalam kerajaan yang sedang menguruskan ‘operasi’ membawa pulang aset yang dipercayai dibeli menggunakan duit 1Mlaysia Development Berhad (1MDB ) dari Singapura.

“Ya, saya fikir begitu (bawa pulang jet). Kita mesti bawa pulang semula.

“Saya tidak tahu siapa. Ada pihak (dalam kerajaan) sedang menguruskan hal itu. Tetapi memang kita sedang berusaha untuk memperoleh semula wang yang dicuri daripada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas melihat pameran lukisan – Tun M: A Forever Legacy di Maeps di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir memberi amaran bahawa kerajaan tahu pihak-pihak yang menyeleweng wang daripada dana 1MDB.

Katanya, semua itu akan terungkai bergantung kepada bukti yang menunjukkan bahawa wang yang hilang adalah milik kerajaan. – MalaysiaGazette