Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto HAZROL ZAINAL
KUALA LUMPUR – Seramai 3,407 pemegang kad pengenalan penduduk tetap (PR) kaum India dan berumur 60 tahun ke atas layak diberikan kewarganegaraan Malaysia, malah mereka akan diberikan kad pengenalan berwarna biru.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu adalah langkah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji untuk menyelesaikan masalah kerakyatan kaum India seperti mana terkandung dalam manifesto.
“Kita telah menemui wakil rakyat India daripada PH yang diwakili oleh 14 Ahli Parlimen, 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua senator berbincang berkenaan janji pilihan raya lalu.
“Janji ini terdapat dalam manifesto bagi menyelesaikan masalah kerakyatan kaum India yang memegang kad pengenalan warna merah berjumlah 3,407 orang.
“Mereka yang umurnya lebih daripada 60 tahun akan diberi terus kad biru, iaitu merujuk kepada kewarganegaraan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas mengenai Senario dan Pengurusan Pekerja Asing di Malaysia di Parlimen, hari ini.
Hadir sama Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dr Xavier Jayakumar.
Mahathir berkata, bagaimanapun pemegang kad pengenalan PR yang berumur di bawah 60 tahun perlu membuktikan salah seorang ibu bapanya warganegara Malaysia sebelum mereka layak diberikan kerakyatan.
“Yang muda lagi itu kalau ada asas, umpamanya anak yang dilahirkan di mana ibu bapa salah seorangnya orang Malaysia, berhak untuk menjadi sebagai warganegara Malaysia.
“Mereka juga mesti lulus ujian Bahasa Malaysia mudah yang akan diadakan, kalau mereka lulus, kita boleh terima mereka.
“Syarat-syarat lain pula seperti mereka berada di Malaysia tidak kurang daripada 10 tahun, tapi proses mengeluarkan kad biru ini mengambil masa sedikit,” katanya. – MalaysiaGazette