Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memperkukuh sokongan di Selangor apabila kekal mendahului pencabar tunggalnya dalam saingan jawatan timbalan presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli pada fasa kedua pemilihan parti yang berlangsung di tujuh cabang di Selangor hari ini.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Dakwaan pemimpin PKR kononnya Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin cuba menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri perlu diberi perhatian Jawatankuasa Disiplin parti itu.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali  menyerahkan perkara itu kepada Jawatankuasa Disiplin PKR untuk mengambil tindakan sewajarnya memandangkan dakwaan itu boleh mencalar kewibawaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Saya serahkan kepada jawatankuasa disiplin parti sama ada dalam KEADILAN (PKR)  mahu pun PH untuk melihat apakah bentuk tindakan wajar diambil.

“Namun, saya percaya ini bukan masalah disiplin sahaja tapi ini isu kewibawaan seseorang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin dalam mana-mana parti.

“Saya melihat penjelasan Perdana Menteri malam tadi merupakan nasihat yang perlu digalas oleh semua pihak di mana kita harus menyuburkan satu budaya untuk bekerja secara kohesif dan kolektif sebagai sebuah kerajaan berbanding satu gerakan pembangkang,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani wujudnya gerakan yang didalangi Daim menerusi beberapa kenyataanya sebelum ini yang dilihat sebagai ‘campur tangan luar biasa’.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR itu juga mendakwa gambaran itu memberi isyarat Daim cuba melengah-lengahkan atau memperlekehkan Anwar daripada menjadi Perdana Menteri kelapan.

Mohamed Azmin juga mengingatkan semua pimpinan PKR dan PH agar tidak mengkhianati amanah yang diberikan rakyat untuk melakukan perubahan.

“Saya menasihati semua pihak supaya tumpu kepada kerangka besar PH. Rakyat telah memberikan sokongan mahu sebuah kerajaan baharu atas nama PH dalam melakukan agenda reformasi dan memenuhi aspirasi rakyat.

“Bagi saya, sebagai pemimpin kita tak boleh mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat untuk melakukan perubahan.

“Saya mengajak semua pimpinan dan anggota meletakkan agenda besar ini mengatasi kepentingan individu, kelompok dan juga peribadi mana-mana pihak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast