Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pekerja Asing di Malaysia di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 JULAI 2018.
Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bahasa Melayu kekal digunakan untuk urusan rasmi, demikian jaminan yang diberikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Walaubagaimanapun, terjemahan dalam bahasa Inggeris perlu mengikut keperluan.

“Bagi memastikan bahasa Melayu terus kekal diperkasa dan diguna bagi maksud rasmi, kerajaan telah mewujudkan Pekeliling Perkhidmatan Awam yang terpakai kepada semua agensi Perkhidmatan Awam serta semua Perkhidmatan Awam Negeri, Badan Berkanun Persekutuan, Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Berdasarkan pekeliling tersebut penggunaan bahasa kebangsaan bagi urusan rasmi oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri diperuntukkan selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan.

“Kita perlu menentukan (mengambil kira) orang asing yang datang ke Malaysia yang tidak fasih bahasa Melayu untuk memahami apa yang kita katakan.

“Sebab itu kadangkala ada menteri menggunakan bahasa Inggeris atau Tamil atau Mandarin untuk jelaskan, tetapi penjelasan itu tidak dikira sebagai rasmi,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong – BN) yang meminta penjelasan jaminan kerajaan terhadap hak-hak Melayu dan Bumiputera terus terbela seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, kerajaan Pakatan Harapan akan mengikuti Perkara 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kesemua hak Melayu dan Bumiputera bahkan bahasa kebangsaan. – MalaysiaGazette