Bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap kepada media ketika menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.foto IQBAL BASRI, 13 OGOS 2018
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau tidak pernah mencampuri urusan UMNO sejak meninggalkan jawatan presiden parti itu selepas kekalahan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Katanya, Presiden baharu UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bebas membuat sebarang keputusan misalnya dalam soal Majlis Tertinggi parti selain penentuan calon Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis.

“Saya menyokong dia (Ahmad Zahid) sebagai presiden parti dan memberi kerjasama penuh.

“Tetapi pada masa yang sama saya juga berhak mempertahankan polisi saya untuk tampil membersihkan persepsi tidak betul dan manipulasi fakta oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan,” katanya.

Menurut Najib, apa yang dilakukan sekarang adalah untuk mempertahankan haknya dalam proses membersihkan nama beliau yang kini cuba dirosakkan oleh kerajaan pakatan harapan.

“Saya rasa adalah adil yang mana mempertahankan diri adalah hak yang diberi kepada mana mana individu dan warganegara.

“Sebab itulah saya mempraktikkan hak saya untuk menjelaskan pendirian saya misalnya hutang negara yang dimanipulasi mencecah RM1 trilion, RM19 bilion wang GST hilang dan laporan siasatan penuh PAC,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, beliau sentiasa berperanan sebagai wakil rakyat dan akan bersuara untuk rakyat sambil menyifatkan ia sebagai amanah yang diberikan pengundi.

Ditanya mengenai tindakan beliau yang turun berkempen semasa PRK Sungai Kandis, Najib sebagai mewajarkan tindakannya itu berkata, beliau sebenarnya dijemput turun oleh calon Lokman Adam.

“Calon menjemput saya untuk turun sokong berkempen sebab itu saya datang dan ia bukan pelan asal saya berkempen di situ,” tegasnya.

Ditanya mengenai hasrat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dipengerusikan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dari blok pembangkang yang mahu menyiasat semula salah laku 1MDB, beliau berkata:”Kalau nak buka semula saya tidak ada apa apa untuk dibantah kerana kita cari kebenaran.

“PAC dulu pun sudah buat kesimpulan saya tidak melakukan sebarang kesalahan sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu dan ia sudah disahkan.

“Jika hendak membuka semula kes itu ia adalah hak PAC, tapi janganlah dalam niat sengaja hendak mencari kesalahan semata-mata,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette