KUALA LUMPUR – Setakat 1 Januari hingga 14 Ogos 2018, sebanyak 51,147 kes penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negara dengan Sarawak menyumbang kepada 6,209 kes atau 12.1 peratus daripada keseluruhan kes.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada 6,209 kes HFMD di Sarawak itu, majoriti kes dilaporkan di Kuching, Sarawak dengan jumlah 1,387 kes atau 22.3 peratus bagi tempoh sama.

“Satu kematian yang dilaporkan di Sarawak melibatkan seorang kanak-kanak berumur 27 bulan dari Daerah Mukah.

“Kes meninggal pada 28 Julai 2018. Kakaknya juga mempunyai gejala HFMD tetapi telah sihat tanpa komplikasi,” katannya menjawab pertanyaan lisan Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching – DAP) dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas pertanyaan Kelvin meminta Menteri Kesihatan menyatakan jumlah kes secara terperinci HFMD di Sarawak dan langkah-langkah pencegahan serta kriteria penutupan taska akibat penyakit berkenaan.

Dzulkefly juga berkata, pihaknya dengan kerjasama pihak swasta telah mengadakan pelbagai aktiviti pencegahan, promosi kesihatan dan kawalan secara bersepadu bagi mengekang penularan jangkitan HFMD.

“Kawalan HFMD kepada pengusaha-pengusaha dan guru-guru taska, tadika, tabika dan pra-sekolah melalui ‘Town Hall Meeting’ dan lawatan ke premis-premis; di peringkat negeri, daerah dan mukim.

“Penekanan kepada penjagaan kebersihan diri, amalan mencuci tangan betul, penjagaan kebersihan persekitaran, saringan di pintu masuk premis dan disinfeksi permukaan yang tercemar.

“Kementerian juga turut memperkukuhkan pengawasan kes HFMD dengan komplikasi dan pengawasan virus dalam kalangan kes,” jelasnya.

Sementara itu, tindakan penutupan taska tadika dan tabika atau pra-sekolah dilakukan sekiranya terdapat dua atau lebih kes di premis tersebut dalam tempoh inkubasi HFMD.

“Penutupan premis akan dilakukan untuk tempoh 10 hari dari tarikh onset kes HFMD terakhir dikesan di premis yang sama.

“Tujuan penutupan premis adalah untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan kepada kanak-kanak lain.

“Ia bagi membolehkan pengusaha premis menjalankan proses basmi kuman khususnya alatan mainan serta permukaan-permukaan tercemar termasuk lantai dan meja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette