Temubual Eksklusif bersama Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao di Studio Malaysia Gazette, Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 17 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Semua Ahli Parlimen pembangkang perlu berani mengemukakan usul undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri dan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana gabungan itu gagal menunaikan janji manifesto PRU-14 kata

Pengarah Strategik Parti Alternatif Rakyat (PAP), Ramesh Rao Krishnan Naidu.

Dalam satu kenyataan media, beliau berkata, daripada semua 10 janji manifesto PH, kira-kira 80 peratus tidak ditunaikan.

Beliau berkata corak pentadbiran kerajaan PH selepas mendapat mandat ialah membalas dendam dan penipuan kepada rakyat.

“Tidak lama selepas mereka menang, mereka menipu tentang hutang negara melalui Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mendakwa hutang negara mencecah RM1 trilion berbanding hutang sebenar negara iaitu kira-kira RM686 juta.

“Kerajaan melalui jemaah menteri mereka mengambil pendekatan menyalahkan kerajaan terdahulu dengan mentaliti sebagai pembangkang jika keadaan ekonomi negara merosot atau nilai ringgit menjunam,” katanya.

Selain itu, menurut Ramesh, bantuan kebajikan dihentikan, elaun kepada penghulu tidak diberikan dan peneroka FELDA tidak diberikan perhatian daaripada kerajaan yang menyebabkan rakyat semakin susah.

“Ahli Parlimen BN, Pas dan Bebas jika bersatu ada bilangan yang ramai dan jika bersama dengan Ahli Parlimen PKR jumlahnya lebih besar dan berjaya mendapat majoriti mudah sekaligus menjatuhkan Perdana Menteri,” katanya.

Ramesh berkata, jika para wakil rakyat tidak berani membuat usul berkenaan, rakyat akan terus dijadikan mangsa oleh kerajaan PH mengambil langkah-langkah yang salah mengikut kemahuan sesuka hati mereka.

Kegagalan kerajaan PH membuatkan para pelabur bimbang dengan masa depan ekonomi sehingga mereka menarik kembali pelaburan mereka keluar negara sehingga pasaran saham negara merudum dan berada pada kedudukan paling rendah selepas beberapa tahun, dakwanya.- MalaysiaGazette