Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan Pengerusi Hospital Pakar Cardiac Vascular Sentral, Tan Sri Datuk Dr. Yahya Awang (kiri) dan Pengerusi CVS Holdings, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz (kanan) pada Majlis Pelancaran Hospital Pakar Cardiac Vascular Sentral di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2018.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan Pengerusi Hospital Pakar Cardiac Vascular Sentral, Tan Sri Datuk Dr. Yahya Awang (kiri) dan Pengerusi CVS Holdings, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz (kanan) pada Majlis Pelancaran Hospital Pakar Cardiac Vascular Sentral di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu, kerajaan akan berusaha untuk mendapatkan semula jet peribadi dipercayai milik ahli perniagaan yang ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, jet itu yang kini berada di Singapura akan disiasat terlebih dahulu sama ada ia dibeli menggunakan wang 1MDB atau sebaliknya.

“Kalau jet itu dibeli dengan wang yang dicuri dari 1MDB, jet peribadi itu akan jadi milik kerajaan Malaysia dan kita akan ambilnya semula,” katanya ketika ditemui wartawan selepas merasmikan Hospital Pakar Cardiac Vascular Sentral (CVSKL) Kuala Lumpur Sentral di sini hari ini.

Turut hadir, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi dan Pengasas CVSKL, Tan Sri Dr Yahya Awang; dan Pengerusi Pemegang CVSKL Holdings, Datuk Seri Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.

CVSKL adalah hospital pakar jantung swasta pertama negara ini, yang dibuka dengan pelaburan kira-kira RM270 juta.

Ditanya bila kerajaan akan mengambil jet itu, Mahathir berkata, tiada tempoh diberikan tetapi penelitian perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum mengambil, sama seperti kerajaan mengambil semula kapal layar Equanimity.

Mengenai kejatuhan ringgit, Perdana Menteri berkata, kejatuhan itu bukan dialami negara ini sahaja, negara lain juga turut mengalami nasib sama.

Ini katanya, disebabkan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu menyebabkan semua mata wang jatuh.

“Banyak faktor (menyebabkan mata wang dunia jatuh), antaranya masalah yang berlaku di negara Eropah, perang perdagangan antara China dengan Amerika Syarikat dan banyak lagi.

“Faktor ini menyebabkan ringgit kita (Malaysia) turut jatuh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast