Foto Instagram Ras Adiba Radzi.

KUALA LUMPUR – Personaliti televisyen, Ras Adiba Radzi telah bertemu dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana, Menteri Fuziah Salleh susulan cadangan penggunaan tandas orang kurang upaya (OKU) oleh golongan transgender.

Bekas personaliti TV3 itu memaklumkan pertemuan yang diadakan semalam mengambil masa selama sejam setengah.

Malah Ras Adiba mendakwa Ali Parlimen Kuantan itu telah memohon maaf serta bersimpati terhadap rintangan yang terpaksa dilalui golongan OKU.

“Syukur alhamdulillah YB Fuziah Salleh telah sudi menjemput kami untuk menerangkan mengapa beliau beberapa hari lalu mencadangkan LGBT mengunakan tandas OKU untuk keselamatan mereka.

“Dalam mesyuarat selama sejam setengah itu, kami mengutarakan bantahan dan pendirian kami beserta pengalaman berkenaan isu tandas.

“YB Fuziah meminta maaf dan amat bersimpati mendengar pelbagai kesukaran yang warga OKU lalui,” tulisnya di laman sosial di Instagram.

Kelmarin, Ras Adiba yang menggunakan kerusi roda mengulas kenyataan dibuat Fuziah mengenai kemudahan terhadap golongan transgender yang mengadu berdepan masalah apabila mahu menggunakan tandas.

Melalui surat terbuka kepada Fuziah, Ras Adiba menggesa beliau memohon maaf kerana beranggapan saranan dibuatnya ibarat menambah lagi bebanan yang sedia ada dipikul mereka.

“Tahukah YB bahawa tandas kami sering disalahgunakan orang bukan OKU, juga untuk merokok, dijadikan bilik stor atau tempat rehat pekerja pembersihan?” katanya.

Kenyataan Ras Adiba mengenai bantahan perkongsian tandas itu merujuk kepada kumpulan LBGT secara keseluruhan, dan isu penggunaan tandas yang dibincangkan sebelum ini lebih merujuk kepada komuniti transgender.

Ras Adiba merupakan Pengasas serta Pengerusi Persatuan OKU Sentral, NGO untuk membantu orang kurang upaya.

Selain Fuziah, surat Ras Adiba turut ditujukan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Hannah Yeoh.

Pada 13 Ogos lalu melaporkan Fuziah yang juga Naib Presiden PKR meminta masyarakat melihat masalah golongan transgender secara menyeluruh.

Sementara itu, Ras Adiba berkata, Fuziah berjanji untuk mencari jalan penyelesaian dirasakan terbaik bagi menangani isu berkenaan pada hujung pertemuan mereka.

“Setelah mendengar pandangan kami, beliau lebih faham mengapa kami membantah,” katanya.

Selain isu tandas kata Ras Adiba, perbincangan turut menyentuh topik lain yang dirasakan dapat meringankan bebanan dipikul golongan OKU seperti kemudahan di tempat ibadah dan program-program pendidikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast