PULAPOL
Suasana di hadapan wad kecemasan yang menerima pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) akibat diserang strok haba di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Seramai tiga pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu yang diserang strok haba ketika menjalani latihan semalam dimasukkan ke Zon Kritikal Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Jurucakap Unit Perhubungan Awam HKL ketika dihubungi memberitahu, pada masa ini ketiga-tiga pelatih tersebut sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Hanya dua orang sahaja yang dibenarkan melawat pesakit pada waktu lawatan dan merupakan anggota keluarga,” katanya.

Menurut jurucakap itu lagi, semalam pihak hospital menerima kemasukan ketiga-tiga pelatih itu dan dua daripadanya dimasukkan ke wad manakala seorang lagi di tempatkan di ICU.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka kemudiannya dipindahkan di ICU untuk menerima rawatan lanjut.

Dalam kejadian semalam, seramai 61 pelatih PULAPOL dilapor berada dalam keadaan kritikal selepas dikatakan menjalani latihan di dalam sebuah bas dengan keadaan cuaca panas terik.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari dan ia dikatakan sebahagian daripada latihan mereka.

Sementara itu, jurucakap Unit Perhubungan Awam Hospital Sungai Buloh berkata, hospital berkenaan turut menerima kemasukan pelatih terbabit dan jumlah tidak sampai 10 orang.

Katanya, pihak hospital telah diberikan amaran untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media berhubung insiden tersebut.

“Kami tidak dibenar memberikan sebarang maklumat kepada media tentang perkara ini dan kenyataan hanya akan diberi oleh Ketua Polis Negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, arahan mengenai larangan memberi maklumat kepada media turut tersebar menerusi aplikasi Whatsapp.

“Hospital tidak akan memberikan sebarang maklumat. Kita tunggu IGP (Ketua Polis Negara) atau pihak berkuasa yang berkaitan untuk membuat kenyataan dahulu.

“Metro (Harian Metro) semalam memetik CPRC KKM, tu sumber dari KKM sendiri, entah mana Metro dapat.

“Sila bertanya kepada DG, SUA YBMK (Setiausaha Akhbar Menteri Kesihatan) dan Pejabat KPK, Kami nyatakan perkara yang sama. Sila tanya Tan Sri IGP dan PDRM,” jelas makluman itu. – MalaysiaGazette

 

Sekumpulan 61 pelatih PULAPOL kritikal diserang strok haba