Mohammad Nizar Jamaluddin

IPOH- Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengakui bertanggungjawab meluluskan hak milik kekal tanah kepada 11 penduduk kampung baru di Kuala Rui, Gerik ketika  beliau menjawat jawatan Menteri Besar Perak  pada tahun 2008.

Mohammad  Nizar yang kini memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah berkata ini dilakukannya  selepas mendapat nasihat dan pandangan daripada pengamal undang-undang.

“Itu merupakan manifesto pakatan rakyat ketika itu saya hanya sempat mengeluarkan sebanyak 11 hak milik kekal tanah di kampung berkenaan dan berlaku di saat akhir saya menjawat jawatan itu.

“Tetapi saya tidak tahu apa status hak milik tanah kampung itu selepas kerajaan baharu ambil alih. Tetapi itu yang saya lakukan 10 tahun lepas,” katanya pada sidang media selepas program Sepagi Bersama ADUN di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming melaporkan beliau mahukan kerajaan negeri memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baru seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan ketika pilihan raya umum ke-14 yang lepas.

Menurut Nga, kuasa untuk meminda perkara hal ehwal tanah berada bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukan tertakluk kepada Majlis Tanah Negara (MTN).-BERNAMA