Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seorang bapa yang didakwa menetak anak kandungnya yang sedang tidur sehingga mati, Isnin lepas  dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh.

Mohd Faih Rifin, 36, yang kini menganggur dan pernah bekerja sambilan sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) didakwa membunuh anaknya Muhammad Waiz Wazzini, 5, di sebuah rumah di Flat Puchong Permai 1/6, Taman Puchong Permai, Puchong, Petaling, di sini antara 2.30 petang dan 5.30 petang, 13 Ogos lepas.

Tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu dan kelihatan bersahaja mengangguk dan menjawab “faham”, ketika pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan  Majistret Nor Ariffin Hisham kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Okt untuk sebutan semula kes. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Firdaous Mohamed Idris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai maut ditetak bapa sendiri di rumah didiami keluarga itu dan kejadian tragis tersebut berlaku ketika ibu mangsa tiada di rumah.

— BERNAMA