BANGKOK- Polis wilayah Satun telah mengeluarkan dan menghantar pulang empat nelayan Langkawi yang didakwa diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Pulau Langgun, berhampiran pulau pelancongan itu.
Ketuanya Maj Gen Suphawat Tapkiew berkata, kesemua nelayan itu dibebaskan di jeti feri Tammalang Satun kira-kira 11 malam (waktu tempatan) semalam untuk kembali ke Langkawi.
“Empat nelayan Malaysia itu dibebaskan selaras persetujuan selepas perbincangan antara pihak berkuasa yang berkaitan dari Thailand dan Malaysia untuk mencari penyelesaian,” katanya kepada Bernama hari ini, sambil menambah perrbincangan semalam dipengerusikan Gabenor Satun Pattarapon Rattanapichetchai.
Bernama difahamkan bahawa perbincangan itu juga melibatkan pegawai dari pejabat Konsulat Jeneral Malaysia yang berpangkalan di Songkla.
Beliau berkata, pihaknya menjangka tiga pegawai polis Thai dan timbalan ketua kampung yang kini sedang ditahan pihak berkuasa Malaysia akan dibebaskan dan kembali ke negara itu tidak lama lagi sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dicapai untuk menyelesaikan masalah tersebut. – MalaysiaGazette