KUALA LUMPUR – Bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman telah kembali ke Malaysia bagi menangani isu-isu yang belum selesai walaupun mengalami masalah kesihatan, menurut pegawai perhubungan medianya, Awang Faisal.

Dalam satu kenyataan di sini malam ini, beliau berkata Musa kini diperiksa dan dipantau oleh pasukan pakar perubatannnya di sini.

“Beliau telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan akan terus berbuat demikian walaupun menghadapi masalah kesihatan dan melanggar nasihat doktor untuk memenuhi kewajipannya. Bagi pihak Tan Sri Musa, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua mereka yang telah mendoakan supaya beliau segera sembuh,” kata Awang.

Musa, yang juga anggota dewan undangan negeri Sungai Sibuga, dilaporkan telah melarikan diri ke London pada 17 Mei berikutan krisis kepimpionan di Sabah.

Beliau kini dikehendaki oleh polis kerana dituduh melakukan ugutan jenayah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah semasa upacara mengangkat sumpah jawatan pada 10 Mei dan juga disiasat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan memberi sogokan kepada beberapa anggota dewan undangan negeri.- BERNAMA