CARACAS- Satu gempa bumi kuat dengan 7.3 magnitud melanda pantai timur Venezuela, kawasan yang dihuni oleh kebanyakannya masyarakat nelayan miskin.
Gegaran turut dirasai sejauh ibu kota Colombia, Bogota dan menyebabkan gangguan elektrik di sebahagian Trinidad.
Menurut pegawai-pegawai Venezuela, tiada kematian dilaporkan manakala dua sumber syarikat minyak PDVSA memberitahu Reuters, lapangan minyak dan kilang penapisan ahli OPEC itu beroperasi seperti biasa.
Bagaimanapun, penduduk yang tinggal berhampiran kawasan pusat gempa sukar menghubungi ahli-ahli keluarga yang lain berikutan talian telefon yang terjejas teruk,
Venezuela adalah sebuah negara yang tidak bersedia menghadapi bencana alam kerana negara berkenaan masih terhimpit dengan krisis ekonomi yang menyebabkan kekurangan bekalan ubat, hospital tidak mampu beroperasi sepenuhnya serta putus bekalan barangan asas seperti ayam dan susu.
Menurut Pakar Geofizik Kaji Selidik Geologikal Amerika Syarikat, Jessica Turner, gempa bumi dengan kedalaman 123 kilometer itu berlaku di bawah permukaan bumi menyebabkan gegaran boleh diserap.
“Gempa bumi dengan magnitud 7.3 memang boleh menyebabkan kerosakan yang sangat teruk terutama di kawasan ini yang mana struktur bangunan amat lemah.
“Bumi memang mampu menyerap tenaga tersebut tetapi gempa berskala 7.3 menghasilkan tenaga yang terlampau kuat,” katanya.- MalaysiaGazette