Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melambaikan tangan ketika melawat Kapal Equanimity di Terminal Bousthead Cruise Center, Pelabuhan Klang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 11 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memfailkan  perintah mahkamah bagi mendapatkan perintah mempercepatkan penjualan kapal  persiaran  mewah Equanimity.

Empat plaintif iaitu 1MDB dan dua anak syarikat 1MDB Energy Holidings Limited, IMDB Global Investment Limited dan kerajaan menamakan pemilik Equanimity yang diandaikan berpangkalan di Kepulauan Cayman sebagai defendan dalam kes yang dikendalikan firma guaman Joseph & Partners.

Dalam notis permohonan itu, keempat-empat  plaintif meminta penjualan kapal, bunker, bahan bakar, pelincir dan bahan lain di atas kapal itu dijalankan melalui tender awam atau swasta oleh sheriff atau  pendaftar Mahkamah Admiralty.

Firma itu mahu pihak sheriff menerima tawaran untuk kapal itu dan harga pembelian hendaklah dibayar kepada sheriff dalam Dolar Amerika Syarikat , Euro  atau Ringgit Malaysia.

Firma itu berkata, hasil jualan kapal itu akan dibayar ke mahkamah dan diletakkan di dalam akaun bank di Malaysia seperti yang diluluskan oleh akauntan negara.

Para sheriff atau plaintif diberi kuasa untuk mengatur dan membayar bagi penghantaran pulang ketua, pegawai dan krew kapal itu.

Menurut firma itu lagi kapal itu mengalami kemerosotan fizikal  disebabkan pendedahan kepada laut dan cuaca,  dan adalah untuk kepentingan semua pihak agar maka penjualan dapat dilakukan segera untuk mengelakkan penyusutan nilai kapal itu.

“Penyusutan  ini akan menyebabkan kesulitan kepada plaintif kerana nilai kapal itu telah disusut nilai dan kos berterusan untuk mengekalkan keadaannya hanya akan mengurangkan jumlah yang akan diperolehi,” katanya.

Pada 6 Ogos, writ saman dikeluarkan kepada “pemilik kapal”, serta Wilson Yacht Management Ltd, syarikat yang mengendalikan Equanimity.

Pendengaran permohonan itu telah ditetapkan esok dan diikuti dengan sidang akhbar.

Kapal mewah itu tiba di Malaysia pada 7 Ogos setelah diserahkan oleh pihak berkuasa Indonesia.

Equanimity telah dirampas di pantai Bali oleh pihak berkuasa Indonesia pada bulan Februari atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada penyelidikan multi-bilion dolar yang dilancarkan oleh DoJ terhadap 1MDB.

Bagaimanapun, mahkamah Indonesia memutuskan pada April bahawa penyitaan itu menyalahi undang-undang dan kapal layar itu hendaklah  dikembalikan kepada pemiliknya.

Tetapi pihak berkuasa Indonesia merampas kembali kapal itu pada bulan Julai dan berikutan permintaan rasmi dari AS. Indonesia kemudian bersetuju menyerahkan kapal layar itu kepada  Malaysia.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast