Datuk T Subromaniam Tholasy

KUCHING – Berkuatkuasa 1 September ini Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan bagi mengantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kata Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy.

Katanya, pelaksanaan SST itu adalah susulan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 telah diluluskan Parlimen pada 20 Ogos lepas.

“Sehingga kini, kira-kira 77,000 peniagaan telah didaftarkan di bawah SST melalui pemindahan automatik dari sistem GST dan peniaga telah dimaklumkan melalui emel.

“Daripada jumlah itu, 32,577 merupakan pendaftaran bagi cukai jualan dan 44,874 adalah pendaftaran bagi cukai perkhidmatan. Ini menunjukkan kos pematuhan dijangka akan menurun kerana kebanyakkan peniaga tidak perlu berdaftar di bawah SST, cuma pengilang barangan  tertentu dan penyedia perkhidmatan sahaja yang perlu berdaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas taklimat SST di Wisma Kastam, Petrajaya di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha..

Subromaniam berkata, bagi memudahkan peniaga membuat rujukan dan pendaftaran, sebanyak 31 panduan SST akan dimuatkan dalam laman sesawang kastam.

“Sejak pendaftaran secara online dilancarkan pada 16 Ogos lalu, sebanyak 470 pendaftaran baru telah diterima,” katanya.

Bagi syarikat atau perniagaan yang layak berdaftar, boleh mendaftar di laman sesawang http://mysst.customs.gov.my/ atau menghubungi pusat panggilan kastam di talian 1300 888 500.- BERNAMA