Seorang pelanggan sedang memilih pelbagai jenis ikan masin yang dijual di Pusat Jualan Ikan Masin, Kota Kinabalu, Sabah. Foto/SAFWAN MANSOR. 24 DISEMBER 2013
Seorang pelanggan sedang memilih pelbagai jenis ikan masin yang dijual di Pusat Jualan Ikan Masin, Kota Kinabalu, Sabah. Foto/SAFWAN MANSOR. 24 DISEMBER 2013

KUALA LUMPUR – Ikan masin, makanan dalam tin, makanan ringan, makanan proses dan sejuk beku antara 6,400 jenis barangan bakal dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menjelang 1 September ini.

Senarai penuh barang-barang yang dikenakan cukai itu boleh dilihat melalui senarai 121 muka surat menerusi laman sesawang https://mysst.customs.gov.my/assets/document/Guide%20on%20proposed%20sales%20tax%20rates%20for%20various%20goods.pdf

Menurut laman sesawang itu, antara hidupan laut yang dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus ialah ikan jeruk, ikan kering/masin, ikan masin bulu ayam, ikan pekasam, ikan talang masin dan ikan tamban (kering).

Udang kering dan udang geragau, sawi masin, sayuran campur beku dan sayur beku serta kekacang kering dan segar termasuk kacang tanah juga dikenakan cukai jualan lima peratus.

Makanan kegemaran rakyat Malaysia seperti ayam goreng, burger ayam dan daging, bebola ayam, ayam gorang beku dan makanan yang sudah dipek dan perencah makanan dikenakan cukai itu.

Bagaimanapun, ikan dalam sos tomato, ikan tuna (dalam mayonis, tin), kari ikan (dalam tin), kek ikan, nuget ikan, sardin (dalam tin) dikecualikan cukai SST.

daging burger
Daging burger tidak dikecualikan daripada SST

SST akan dilaksanakan awal bulan depan menggantikan Cukai Barangan dan Jualan (GST) yang dimansuhkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan selepas ia diwujudkan pada 1 April 2015.

Pemansuhan itu bagi melunaskan janji manifesto PH yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia berkata, jumlah barangan yang dikenakan SST lebih rendah berbanding sebanyak 11,197 barangan yang dikenakan cukai semasa pelaksanaan GST.

Berdasarkan senarai itu, bahan-bahan untuk kegunaan bakeri seperti mentega, coklat cip, coklat beras, serbuk koko tanpa manisan, coklat bar, blok, tablet dan coklat masakan juga dikenakan cukai.

Selain itu cendol, keropok ikan/udang dan ketupat nasi tidak terkecuali dikenakan cukai jualan 5.0 peratus.

Jus dan kordial disenarai sebagai barangan yang dikenakan cukai.

Barangan rumah, barang plastik, kasut termasuk kasut sekolah, kosmetik serta barangan elektrik tidak terkecuali dengan cukai itu.

Namun, kebanyakan barangan kimia dan perubatan dikecualikan dari cukai tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast