Mohamad Fuzi Harun
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Polis akan merujuk kes siasatan ke atas bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya akan mengemukakan kertas siasatan mengenai kes itu kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 27 Ogos ini.

“Polis menahan Musa pada 23 Ogos lalu untuk membantu siasatan ke atas dakwaan ugutan jenayah terhadap Yang Di Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada 14 Mei lalu.

“Beliau telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah polis gagal mendapatkan perintah tahanan reman daripada pihak Majistret Petaling Jaya, Selangor,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fuzi turut memberi jaminan bahawa siasatan ke atas Musa akan dijalankan dengan telus dan adil mengikut peruntukan undang-undang.

Musa ditahan sejurus selepas mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah sekitar 7.45 petang kelmarin daripada Lapangan Terbang Seletar, Singapura.

Pada 16 Mei lalu Musa terbang ke London atas alasan untuk menjalani rawatan perubatan di sana tetapi dikehendaki polis dalam kes ugutan melibatkan pelantikan Ketua Menteri dan juga disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.- MalaysiaGazette