Tan Sri Musa Aman
Musa Aman

KUALA LUMPUR – Tan Sri Musa Aman berkata, badan-badan undang-undang dan separa-undang-undang ini adalah institusi dan organisasi yang dihormati dengan baik dan mesti sentiasa diizinkan menjalankan tugas mereka secara bebas dan dengan niat baik.

Badan-badan dan institusi ini juga tidak boleh dikenakan tekanan daripada mana-mana orang atau kerajaan, tempatan atau asing serta kesuciannya perlu dilindungi.

Pegawai Khasnya, Awang Faisal berkata, bekas Ketua Menteri itu  akan mengangkat sumpah seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan Negeri Sabah dan akan berbuat demikian sebaik sahaja keadaan perubatannya membenarkan.

Musa yang kembali ke tanah air Selasa diberikan tempoh sehingga 11 September depan untuk mengangkat sumpah dan jika gagal, kerusi DUN Sungai Sibuga yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum lalu akan terbatal.

Awang berkata, Musa telah selamat pulang ke Malaysia dan sebarang tuduhan yang mendakwa beliau meninggalkan secara haram atau sebagai orang buruan yang melarikan diri dengan jelas menunjukkan kurangnya pengetahuan dan pendidikan.

Beliau keluar negara menggunakan saluran betul dan ia telah dijelaskan kepada Majistret bersama salinan dokumen perjalanan yang telah disediakan kepadanya.

Malah, selama tidak berada di dalam negara, bekas Ketua Menteri Sabah itu secara konsisten memaklumkan kepada pihak berkuasa di mana beliau berada dan sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya meskipun sedang mendapatkan rawatan di United Kingdom.

Musa yang ditahan polis pada 23 Ogos lalu tetapi permohonan reman yang dibuat telah ditolak oleh Majistret Norshahirah Abd Salim.

Semasa prosiding selama dua jam, kedua-dua pihak telah mengemukakan hujah-hujah dan mengemukakan pelbagai dokumen yang menyokong kes masing-masing sebelum Majistret membuat keputusan menolak permohonan reman itu.

Peguam Musa berhujah bahawa permohonan reman tidak boleh diberikan dengan mudah kerana ia merupakan proses kehakiman, yang mana Majistret mesti mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk sama ada keperluan undang-undang dan undang-undang telah dipenuhi. – MalaysiaGazette