Jawatankuasa Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bercakap kepada media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2018.
Zeti Akhtar Aziz

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi mencabarkan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz meletakan jawatan sebagai ahli Majlis Penasihat Kerajaan dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) jika Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dihentikan.

Ini kerana, BR1M adalah idea Bank Negara Malaysia (BNM) dan ketika itu Zeti adalah Gabenor.

“BR1M dicadangkan dalam pembentangan Lembaga Pengarah BNM yang dihadiri oleh Datuk Seri Najib pada bulan Mac 2011. Ia kemudiannya dibentang dan dibahas dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Negara pada bulan Mac dan Ogos 2011.

“Dengan kata lain BR1M lahir melalui pertimbangan teliti. Ternyata mekanisme subsidi dan kawalan harga yang negara gunakan ketika itu mengakibatkan kos fiskal yang besar. Sebab itu BR1M diperkenalkan supaya sampai kepada golongan sasar yang sebenarnya,” kata bekas Ketua Pengarah Hal Ehwal Khas melalui Facebook beliau.

Mohd Puad berkata, Zeti yang mempertahankan BR1M adalah hasil kajian menyeluruh terhadap sistem pemberian subsidi dan jaringan sosial di beberapa negara lain.

Ketika itu Malaysia hampir melaksanakan langkah penyatuan fiskal, antaranya rasionalisasi subsidi.

Bagaimanapun, katanya, BR1M akan dibatalkan kerana ego dan kesilapan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Beliau mahu menghapuskan legasi Najib kerana BR1M dikaitkan dengan Najib. Akibatnya rakyat yang susah.

“Padahal ia hasil kajian teliti dan dipuji oleh pakar ekonomi dan Parlimen United Kingdom. Bertambah buruk kerana ahli Majlis Penasihat Kerajaan seperti Zeti dan Jomo dicucuk hidung.

“Zeti wajar letak jawatan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette