Ketua Penerangan Pas Nasruddin Hassan Tantawi

KUALA LUMPUR – Pas menyeru pengundi pelbagai kaum di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia supaya mengundi calon berpengalaman parti itu, Dr. Halimah Ali.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, Halimah mempunyai latar pendidikan yang cemerlang di samping keperibadian diri serta keluarga yang baik.

Jadi, katanya, Halimah harus diberi peluang untuk berada di DUN Selangor kali ini.

“Keberadaan Dr Halimah di DUN sudah tentu boleh menyumbang ke arah politik bernilai tinggi kerana pengalaman selama 10 tahun sebagai ADUN boleh dimanfaatkan untuk membantu rakyat menyuarakan isu negeri dan tempatan dengan lebih efektif.

“Selain itu, pengalaman beliau yang sangat berharga selama lebih 20 tahun sebagai doktor di hospital awam dan pengamal perubatan swasta membuktikan jiwanya yang lebih dekat dengan masyarakat,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Nasrudin, karier sebagai seorang doktor sudah tentu menajamkan keprihatinannya terhadap masyarakat dan beliau juga sering menawarkan diri sebagai aktivis sukarelawan bencana alam di Malaysia dan antarabangsa antaranya seperti di Lubnan, Kashmir, Yogyakarta dan Aceh.

Katanya, bukti itu jelas menunjukkan sikap empati Halimah terhadap rakyat sukar untuk dipertikaikan.

“Tambahan pula, khidmat bakti beliau sebagai mantan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2008 hingga 2013 boleh menyumbang ke arah pembangunan polisi dan isu pendidikan negeri dengan lebih berkesan.

“Ini bermakna, kecenderungan beliau dalam sektor kesihatan, kebajikan dan pendidikan boleh membantu rakyat pelbagai kaum di Seri Setia khususnya dan seluruh negeri Selangor amnya,” katanya.

Beliau menjelaskan, pengundi di Seri Setia mempunyai peluang keemasan untuk menghantar calon Pas yang berintegriti dan berkompetensi demi kebaikan seluruh rakyat di negeri Selangor. – MalaysiaGazette