Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini tampil menafikan berita sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris mendakwa SPRM menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara bagi pendakwaan kes melibatkan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Melaka.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini menyangkal kenyataan yang disiarkan akhbar berkenaan.

SPRM menjelaskan, perkara yang dimaklumkan oleh Pengarah SPRM Negeri Melaka, Abu Talib Othman seperti yang dilaporkan dalam akhbar tersebut tidak merujuk kepada kes berkenaan rasuah melibatkan Exco Melaka.

“Sebaliknya, kenyataan itu merujuk kes berlainan iaitu siasatan terhadap dua kes rasuah melibatkan dua kakitangan awam serta seorang kakitangan sektor swasta,” kata kenyataan yang sama.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM menjelaskan, kes berkaitan penerimaan wang rasuah bernilai RM2.6 juta melibatkan Exco Melaka itu masih di peringkat siasatan.

“Kertas kertas siasatan kes itu masih belum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya SPRM.

Sehubungan itu, SPRM memohon semua pihak terlibat khususnya pihak media agar tidak memutarbelitkan kenyataan itu tanpa memahami perkara sebenar serta mendapatkan kesahihannya daripada pihak berkuasa itu.

“Ia penting kerana boleh menimbulkan kekeliruan sekali gus menjejaskan reputasi dan kredibiliti SPRM dalam menjalankan siasatan itu,” tegas suruhanjaya itu menerusi kenyataan tersebut.- MalaysiaGazette