Peguam kepada Hasanah Abdul Hamid, Datuk Shaharudin Ali bercakap kepada media selepas memohon perintah reman Datuk Hasanah Abdul Hamid kes salah guna dana PRU14 di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 OGOS 2018.

PUTRAJAYA – Peguam kepada Datuk Hasanah Abdul Hamid akan memfailkan permohonan mencabar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyekat beliau berjumpa dengan anak guam selepas proses perintah tahanan reman dibenarkan oleh Mahkamah Majistret di sini.

Datuk Shaharudin B. Ali berkata, SPRM semasa memohon perintah reman berkenaan pagi tadi, pihak berkuasa itu telah mengeluarkan pemberitahuan surat menerusi Seksyen 28 A(8) yang membolehkan mereka menghalang kliennya bertemu dengan peguam sepanjang perintah reman berlangsung.

Bantahan kami hari ini ialah terhadap pemberitahuan surat yang dikeluarkan SPRM daripada menghalang peguam daripada berunding dengan bekas Ketua Pengarah Agensi Perisikan Luar Malaysia (MEIO).

“Pemberitahuan itu dikeluarkan SPRM dibawah Seksyen 28A(8), walhal lazimnya seseorang peguam boleh dirunding anak guamnya seperti kes lain.

“Tetapi, sejak surat itu dikeluarkan,ia telah menyekat saya berjumpa klien (Hasanah) sepanjang proses reman berlangsung.

“Maka arahan terbaharu yang diterima daripada Hasanah ialah untuk mencabar Seksyen 28A(8) di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Persekutuan kerana merasakan ia melibatkan soal keselamatan negara dan perlu mendapatkan keputusan Mahkamah Persekutuan untuk bantahan ini,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah hari ini.

Terdahulu, Hasanah dibenarkan ditahan reman selama lima hari sehingga 2 September oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim walaupun SPRM menuntut reman tujuh hari dalam permohonannya pagi tadi.

Hasanah dibawa ke mahkamah sekitar pukul 9.20 pagi dengan berpakaian lokap warna oren dan bertudung ungu menutup muka dengan tangan bergari.

Tambah beliau, pihaknya akan memfailkan permohon itu menjelang esok dan tidak akan menunggu sehingga perintah reman berakhir pada 2 September ini.

Dalam perkembangan sama, beliau menyifatkan perkara ini akan menguji peruntukan yang ditetapkan dalam perlembagaan nanti.

Ditanya sebab beliau dihalang berjumpa kliennya, Shaharudin berkata SPRM memberi alasan tersendiri secara panjang lebar.

“Namun saya tidak tahu bagaimana alasan itu kena mengena dengan peguam misalnya mereka mempercayai dengan membenarkan peguam berjumpa klien, maka orang tertentu itu akan lari dari siasatan atau bahan bukti kes boleh hilang.

“Ini langsung tidak kena mengena dengan saya dan mahkamah Tinggi atau Persekutuan bertanggungjawab memberi jawapan munasabah.

“Saya juga difahamkan di bilik bicara bahawa selagi konsultasi ini tidak berlaku antara kami, soal jawab tidak boleh dimulakan dalam siasatan.

“Selain itu, kami percaya alasan dalam undang-undang yang diberikan SPRM tak masuk akal dan tidak munasabah serta melanggar Fasal 5 Perlembagaan Persekutuan yang menafikan seseorang yang ditangkap berunding dengan peguam,” tegas beliau. MalaysiaGazette