Pembatalan rancangan pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura oleh kerajaan Pakatan Harapan telah mencetuskan perdebatan hangat.
Gambar Hiasan

SINGAPURA – Singapura dan Malaysia akan dapat mengumumkan keputusan bersama mereka mengenai projek Sistem Transit Rapid (RTS) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) tidak lama lagi, kata Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berada di sini sejak petang semalam (Rabu) dan dipercayai meneruskan perbincangannya dengan Khaw mengenai projek-projek tersebut.

Kedua-dua menteri itu kali terakhir bertemu pada 23 Ogos di Kuala Lumpur selepas mengadakan mesyuarat pertama mereka pada 11 Ogos.

“Pertemuan dengan menteri Azmin Ali sentiasa mengujakan, menyumbang saran idea bagaimana untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala kita,” demikian catat Khaw yang juga merupakan Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur Singapura dalam laman Facebook beliau hari ini.

“Banyak yang kita boleh lakukan bersama, bagi manfaat bersama. Beliau adalah seorang pemimpin yang bercita-cita tinggi,” kata Khaw dalam catatannya yang turut dikepilkan bersama dua foto beliau dan Mohamed Azmin.

Perbincangan antara Singapura dan Malaysia berhubung permintaan Malaysia untuk menangguhkan projek HSR sejauh 350 kilometer itu yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan bandar raya Singapura sedang berlangsung.

Singapura pada 24 Ogos berkata, Perjanjian Dua Hala HSR masih berkuat kuasa, melainkan Singapura dan Malaysia masing-masing bersetuju untuk mengubahnya.

Mohamed Azmin yang turut senada dengan Khaw menulis di laman twitternya: “KIta semakin hampir mencapai kesepakatan sama-sama menang bagi HSR, berkat usaha keras para pegawai daripada kedua-dua belah pihak.”

Sementara itu, jadual Mohamed Azmin di sini dijangka padat pada hari ini.

“Tiba di Singapura petang tadi dengan jadual yang padat. Akan menghadiri beberapa mesyuarat esok,” catat Mohamed Azmin dalam laman twitternya malam tadi.

“Terima kasih Singapura atas sambutan mesra. Saya amat menghargainya,” catat beliau.

Pada 23 Ogos, Khaw juga bertemu dengan Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke di Putrajaya.

Kedua-dua menteri bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu pengangkutan termasuk Projek Laluan RTS Johor Bahru-Singapura dan perkhidmatan Perantara Tebrau Keretapi Tanah Melayu Bhd. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast