KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru umat Islam menilai semula tingkah hidup mereka sama ada mengikut ajaran agama yang sebenarnya.
Perdana Menteri berkata, ini kerana agama Islam adalah ajaran yang sempurna dan satu cara hidup terbaik.
Namun jelas beliau, Islam gagal dilihat sebagai agama hebat kerana umatnya tidak menjalankan ajaran dalam al-Quran.
“Malangnya kita lihat masyarakat menggambarkan Islam sebagai agama yang tidak berjaya dalam banyak cara.
“Sudah pasti kita lihat terdapat umat Islam hidup dalam masalah apabila mereka bergaduh dan membunuh sesama sendiri.
“Malah mereka juga tidak mampu mentadbir negara sendiri. Mereka hidup miskin tanpa ilmu, kemahiran dan kemampuan untuk membantu hidup mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis merasmikan bangunan baharu International Da’wah Institute – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) (IDIP-KL) di sini hari ini.
Beliau juga merupakan Yang DiPertua Perkim.
Yang hadir sama, Setiausaha Agung Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata, Islam menekankan keadilan dan kesaksamaan namun ia tidak diamalkan di negara Islam termasuk Malaysia.
Jelas beliau, disebabkan salahlaku orang saudara Muslim lain, agama Islam mendapat imej yang buruk.
“Imej ini tidak akan menarik masyarakat mendekati agama Islam yang hebat ini.
“Jika kita mahu melaksanakan dakwah, kita semua mesti menyebar ajaran Islam. Kita mesti tunjuk bahawa siapa menganuti Islam akan berjaya bukan sahaja di dunia malah di akhirat.
“Kita juga mesti menunjukkan bahawa Islam bukan halangan kepada kejayaan umatnya,” katanya.
Mahathir turut berpendapat, umat Islam kini gagal menjalani kehidupan sebenar apabila masih miskin, mundur dan lemah serta meminta walaupun diberikan bantuan oleh orang lain.
Jelas beliau, apabila terdapat golongan seperti itu, masyarakat lain tidak akan tertarik dengan ajaran Islam.
“Kita perlu menyebarkan dakwah kepada semua komuniti, harus juga menunjukkan kejayaan semua umat Islam, cinta untuk kedamaian dan sikap bersaudara terhadap Muslim lain.
“Umat Islam tidak boleh menjadi musuh dan bergaduh sesama sendiri. Ini sebahagian daripada ajaran islam,” katanya. – MalaysiaGazette