Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan tabik hormat ke Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada Sambutan Hari Kebangsaan 2018 diiringi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (lima kiri) dan barisan Menteri-Menteri Kabinet di Perbadanan Putrajaya, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 31 OGOS 2018
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan tabik hormat ke Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada Sambutan Hari Kebangsaan 2018 diiringi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (lima kiri) dan barisan Menteri-Menteri Kabinet di Perbadanan Putrajaya, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 31 OGOS 2018

PUTRAJAYA – Bertemakan Sayangi Malaysiaku – sambutan Hari Kebangsaan 2018 di sini hari ini dipenuhi dengan semangat patriotik.

Sambutan bersejarah itu berlangsung di Dataran Putrajaya bermula 8 pagi sejurus keberangkatan tiba Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Lagu Negaraku dinyanyikan dan ikrar menyusul selepas 14 das tembakan meriam oleh Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja diketuai Mejar Asri B.Che Wil.

Turut menyaksikan perbarisan dan perarakan ialah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, barisan menteri kabinet wakil diplomat dan def dif jemputan.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati orang ramai dianggarkan 300,000 membanjiri kedua dua bahu jalan di Dataran Putrajaya seawal 6 pagi lagi bagi menyaksikan perbarisan dengan penuh semangat patriotik.

Tepukan dan sorakan gemuruh diberikan kepada setiap kontinjen yang melintas di hadapan pentas utama.

Orang ramai turut mengibarkan bendera sebaik sahaja ketibaan Mahathir di pentas utama.

Perbarisan dimulakan dengan 600 orang kadet remaja sekolah yang membawa Jalur Gemilang diiringi 2,000 peserta membawa bendera negeri negeri.

Seramai 12,295 orang mengangotai kontinjen pancaragam dan perbarisan yang dibahagikan empat komponen iaitu kenegaraan, ketenteraman awam, keselamatan negara dan komponen rakyat bersepadu.

Sebanyak 71 aset unit udara Angkatan Tentera Malaysia dan aset darat termasuk kereta kebal digunakan untuk perbarisan.

Selain itu, kira-kira 407 unit aset milik Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Maritim Malaysia.

Kali ini perbarisan kawat ATM dianggotai 2,050 orang terdiri daripada tentera darat,laut dan udara.- MalaysiaGazette