Tommy Thomas
Tommy Thomas. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tommy Thomas telah menarik diri daripada daripada menjadi ketua pasukan pendakwaan dalam kes menentang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pendakwaan berkaitan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Tommy dalam satu kenyataan hari ini menyatakan pengundurannya daripada mengendalikan kes berprofil tinggi itu disebabkan tugas-tugas guaman lain yang agak berat terpaksa dipikul beliau.

Katanya, peguam, Datuk Sulaiman Abdullah telah dilantik sebagai penggantinya untuk menguruskan proses pendakwaan ke atas bekas perdana menteri itu.

Menurut Tommy, penarikan diri daripada pasukan pendakwaan itu disebabkan oleh komitmen berat beliau sebagai Peguam Negara, tugas pendakwaraya serta pelbagai tuntutan lain selaku pegawai undang-undang utama dalam kerajaan.

“Dalam masa sama saya juga membuat persediaan untuk mengendalikan perbicaraan kes kerajaan lawan Najib selama lapan minggu yang ditetapkan bermula pada 12 Februari 2019 sehingga pada 29 Mac 2019.

“Perbicaraan yang penting dan rumit seperti ini memerlukan perhatian sepenuh masa daripada kaunsel utama, bukan hanya semasa tempoh perbicaraan tetapi juga dalam bulan bulan sebelum perbicaraan tetapi juga diikuti penyediaan hujahan bertulis yang terperinci selepas perbicaraan,” katanya menerusi kenyataan itu.

Dalam soal sama tambah beliau, segala tuntutan perkara yang segera dan mendesak itu tidak memberikan masa yang mencukupi untuk beliau menumpukan sepenuh perhatian ke atas pendakwaan Ahli Parlimen Pekan itu.

Oleh itu katanya beliau telah melantik Sulaiman sebagai penggantinya untuk mengetuai barisan pendakwaan menguruskan kes Najib.

“Sulaiman merupakan salah seorang peguam terkemuka negara yang berpengalaman luas dalam undang undang jenayah termasuk jenayah kolar putih.

“Kemahirannya tidak tolok bandingnya dan kebijaksanaannya tiada saingannya selain berintegriti tinggi dan peguam berprinsip,” ujarnya.

Ulas beliau lagi, Sulaiman bersetuju melepaskan kesemua yuran guaman dan berbesar hati untuk memberikan khidmat bakti kepada negara atas dasar pro bono dalam pendakwaan ke atas Najib.

“Sememangnya diketahui umum bahawa kertas siasatan berhubung pelbagai penipuan berkaitan hal 1MDB masih belum dikemukakan kepada Jabatan ini oleh SPRM dan pihak polis (kecuali satu kertas siasatan berkaitan dengan Jho Low yang telah membawa kepada pendakwan dan oengeluaran waran tangkap terhadapnya dan bapanya pada minggu lepas).

“Selepas kertas siasatan diterima daripada agensi agensi siasatan,jabatan peguam juga perlu mengkaji dan menyediakan kertas pendakwaan untuk mendakwa mereka yang tertuduh menerusi perbicaraan.

“Bagi tujuan menguruskan proses ini saya melantik bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah,” jelas beliau.

Menurutnya Gopal Sri Ram yang kembali aktif dalam bidang guaman sejak akhir akhir ini berpengamalan luas dalam hal perundangan jenayah dan telah melepaskan yuran guamnya dan akan bertindak atas pro bono.

“Tidak diragui bahawa profesionalisasi dan azam beliau yang kuat akan mempertingkatkan lagi siasatan dan pendakwaan dalam kesemua hal berhubung dengan skandal 1MDB.

“Dengan pelantikan dua individu terkemuka ini, komitmen kami untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab terhadap kleptokrasi terbesar sejarah dunia dengan amat serius dan sebagaimana diharapkan rakyat Malaysia sesungguhnya memang tidak boleh diragui lagi,” tegas beliau.-MalaysiaGazette