Program Gotong Royong Korban Amal 2018 anjuran Mahsuri Travel & Tour Sdn. Bhd. dan Royal Guest House sejak tahun 2013.

KUALA LUMPUR – Pejam celik sudah enam tahun Program Gotong Royong Korban Amal 2018 anjuran Mahsuri Travel & Tour Sdn. Bhd. dan Royal Guest House sejak tahun 2013.

Cetusan idea bersama itu kekal sehingga tahun ini dengan penglibatan syarikat lain seperti Adabi, Julie’s biskut dan Restoran Haslinda Sim.

Mereka merupakan penaja tetap yang setiap tahun menghulurkan produk dan juga keperluan asas untuk menjayakan kerja amal ini sejak program ini dimulakan.

IMG20180825123855
Program Gotong Royong Korban Amal 2018 diadakan di Kelantan.

Tahun ini, restoran popular iaitu Pak John Steambot & BBQ turut sama memberi sumbangan.

Program Gotong Royong Korban Amal 2018 bermula pada Hari Raya Aidiladha pertama apabila seekor lembu telah dikorbankan untuk dimasak dan diagihkan kepada penduduk RPT Kampong Sungai Sok di Kuala Krai, Kelantan.

Sebanyak 100 bungkus daging korban diagihkan kepada penduduk dan sebahagiannya dimasak untuk dijamu kepada mereka yang bertugas.

IMG20180825074546
Penduduk kampung turut sama bergotong-royong menjalankan ibah korban.

Memasuki raya keempat, aktiviti program korban amal ini berpindah ke Rumah Anak-Anak Yatim Siti Aminah (RAYSA) yang terletak di Kampong Baru, Pasir Pekan di Tumpat, Kelantan yang menyaksikan sembilan ekor Lembu dan seekor kambing  dikorbankan.

RAYSA dipilih memandangkan rumah ini menempatkan 41 orang anak-anak yatim perempuan.

Menurut Penyelia Rumah RAYSA yang mesra dikenali Umi, ini merupakan tahun kelima mereka mengadakan ibadah korban.

IMG20180825084108
Adabi, Julie’s biskut dan Restoran Haslinda Sim turut sama menjayakan Program Gotong Royong Korban Amal 2018,

“Alhamdullilah tahun ini, kami mendapat kerjasama daripada Mahsuri Travel & Royal Guest House untuk menjayakan ibadah  korban yang membuka ruang kepada mana-mana syarikat lain yang ingin mengadakannya pada masa akan datang,” katanya.

Ibadah korban di RAYSA menyaksikan acara penyembelihan dilakukan dengan gotong-royong daripada penduduk kampung.

Bagi Pengurus Besar Mahsuri Travel & Tour, Marzita Yaacob berkata, pihak akan meneruskan acara korban amal ini kerana terdapat masih ramai lagi penduduk yang memohon agar korban dilakukan di tempat mereka.

IMG20180825091544
Kerja-kerja melapah, memotong dan menimbang daging.

“Saya rasa terharu dengan kerjasama daripada semua menjayakan gotong royong ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Royal Guest House, Raja Rusmin Datuk Raja Mahmud turut sama turun membantu memotong bahan-bahan untuk memasak.

“Saya memang suka memasak dan apabila ada acara ibadah korban, biasanya saya akan memasak sup daripada tulang-tulang atau gear box.

IMG20180825100942
Menu sup tulang atau gear box turut disediakan.

“Saya gembira kerana aktiviti ini berjalan sempurna selain terharu melihat ramai juga penyumbang dari kalangan penduduk yang memberi sumbangan tanaman mereka untuk sama-sama untuk menjayakan program korban ini.

“Kami berharap untuk tahun 2019 lebih banyak lagi syarikat dan pengorban yang akan turut serta.

Program Gotong Royong Korban Amal 2018 turut di sokong pihak media dari Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) yang turun membuat liputan. – MalaysiaGazette