Kontinjen Malaysia terus mempamerkan aksi cemerlang dengan menambah satu lagi pingat emas selain satu perak dan enam gangsa pada hari ke-13 temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.
Kontinjen Malaysia terus mempamerkan aksi cemerlang dengan menambah satu lagi pingat emas selain satu perak dan enam gangsa pada hari ke-13 temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018..

JAKARTA – Kontinjen Malaysia terus mempamerkan aksi cemerlang dengan menambah satu lagi pingat emas selain satu perak dan enam gangsa pada hari ke-13 temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, hari ini.

Skuad pelayaran nyata berada dalam kelas tersendiri selepas menyumbang satu emas, satu perak dan tiga gangsa pada aksi di Pusat Pelayaran Kebangsaan Indonesia.

Pelayar negara, Muhammad Fauzi Kaman Shah, 16, menjadi atlet termuda negara menyumbang pingat dengan memberikan pingat emas keenam Malaysia setelah mengungguli acara Laser Terbuka 4.7, selain satu perak yang disumbangkan oleh pelayar Olimpik negara, Khairulnizam Mohd Afendy dalam acara Laser Standard.

Pelayar wanita negara, Nur Shazrin Mohamad Latif turut menampilkan aksi cemerlang setelah meraih gangsa dalam acara Laser Radial, sekaligus mengiringi Khairulnizam ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dua lagi gangsa daripada sukan pelayaran disumbangkan oleh gandingan Nuraisyah Jamil dan Norashikin Mohamad Sayed dalam acara 470 wanita dan gandingan Illham Wahab dan Nuur Fatin Solehah Abdul Rahman dalam acara campuran RS One.

Dalam pada itu, jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, gagal dalam misinya untuk meraih pingat emas peribadi kedua kerana hanya meraih gangsa dalam acara keirin.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu sebelum ini meraih satu emas dalam acara pecut individu dan satu perak dalam acara pecut berpasukan lelaki.

Hasrat skuad skuasy wanita negara untuk mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut sejak edisi 2010 di Guangzhou, China tidak kesampaian setelah kalah mengejut 0-2 kepada India pada aksi separuh akhir skuasy berpasukan dan meraih gangsa.

Berdasarkan format pertandingan, pasukan yang tewas pada aksi separuh akhir, menerima pingat gangsa secara automatik.

Gangsa terakhir Malaysia hari ini hadir menerusi penerjun lelaki negara, Chew Yiwei yang menduduki tempat ketiga dalam acara tiga meter papan anjal individu.

Tambahan lapan pingat itu menyaksikan kontinjen negara mengutip enam emas, 12 perak dan 15 gangsa sejak hari pertama pertandingan pada 19 Ogos lepas.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini meraih lima emas, masing-masing dua pingat emas dalam acara boling, satu emas menerusi sepak takraw, satu emas dalam acara skuasy serta satu emas dalam acara berbasikal trek.

Malaysia turut meraih sebelas perak dalam acara boling (dua pingat), berbasikal trek (satu pingat), terjun (satu pingat), ekuestrian (satu pingat), silat (empat), sepak takraw (satu pingat) dan skuasy yang menyumbang satu pingat perak.

Sembilan gangsa Malaysia pula disumbangkan menerusi acara memanah (satu pingat), terjun (satu pingat), karate (satu pingat), silat (empat pingat), skuasy (satu pingat) serta acara taekwando yang meraih satu pingat gangsa.

Kontinjen negara dijangka menyandarkan harapan sama ada kepada skuad hoki lelaki atau skuad skuasy lelaki untuk mencapai sasaran tujuh pingat emas.

Malaysia bakal berdepan Jepun pada aksi final hoki lelaki di Padang Hoki Gelora Bung Karno, manakala aksi final skuasy lelaki di Stadium Skuasy Gelora Bung Karno bakal menyaksikan pertemuan di antara Malaysia dan Hong Kong.

Juara bertahan China sah mengekalkan kejuaraan keseluruhan temasya sukan berkenaan sejak muncul juara buat pertama pada edisi 1982 di New Delhi India.

Negara Tembok Besar itu kekal unggul menerajui carta kutipan pingat dengan 118 pingat emas, 85 perak dan 60 gangsa, diikuti Jepun (69-50-70), manakala Korea Selatan di tempat ketiga dengan pungutan 43-54-63.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast