Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Karnival Komuniti Prihatin dan Hari Terbuka Universiti Selangor (UNISEL) di Desa Mentari, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 01 SEPTEMBER 2018.

PETALING JAYA – Pengalaman suami Timbalan Perdana Menteri, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan lima tahun menyaksikan ramai banduan yang terjebak dengan dadah.

Ia merupakan bukti bahawa gejala itu semakin menjadi toksik kepada negara. 

Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata, dadah bukan sahaja merosakkan diri individu yang terlibat dengan dadah dengan memberikan kesan kepada keluarga, malah persekitarannya. 

“Bila Anwar dalam penjara dia sendiri berdepan masalah apabila ramai penghuni terjebak dalam masalah dadah. Mereka ditangkap dan dimasukkan dalam sel berdekatan dengannya (Anwar). Bagaiamana dia melalui fasa itu.

“Dadah ni satu yang toksik. Bukan sahaja kepada penagih tapi persikitaran dan keluarganya. Pelbagai kesulitan akan timbul dan seterusnya mampu mencetuskan pergaduhan yang membawa kepada ketidaktenteraman dalam institusi masyarakat.

“Malaysia sebagai negara majmuk kemungkinan akan terjejas sekiranya ia tidak dibendung,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Karnival Komuniti Prihatin dan Hari Terbuka Universiti Selangor (Unisel) di  Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mentari hari ini. 

Menurut beliau, berdasarkan laman web rasmi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebangak 18,440 kes penagihan baharu yang dilaporkan pada tahun lalu, manakala 7,482 adalah kes baru. 

“ Ini membawa maksud sebanyak 25,922 kes yang dilaporkan sehingga tahun 2017.,” katanya. 

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat itu menambah, peranan penting untuk masyarakat memainkan peranan dalam pembentukan sosial komuniti seperti penganjuran program yang diadakan Unisel hari ini bagi memberi kesedaran terhadap bahaya dadah kepada penduduk sekitar PPR.

“Justeru, dengan adanya program seperti ini dapat memupuk kesedaran kepada masyarakat mengenai perkara-perkara yang berkaitan pembangunan sosial di Malaysia khususnya di negeri Selangor,” ujar beliau. – MaaysiaGazette