Hishammuddin Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dana jutaan ringgit membabitkan Datuk Hasanah Abdul Hamid dan tujuh pegawai yang lain.

Selain itu, SPRM juga sedang mengesan dua putera Arab Saudi.

Peguam Hasanah, Datuk Shaharudin Ali berkata, perkara itu diberitahu oleh timbalan pendakwa raya semasa prosiding mahkamah hari ini.

Sebelum itu, bekas Ketua Pengarah Organisai Perisikan Luar Malaysia (MEIO) telah dibawa ke mahkamah bagi menyambung reman Hasanah untuk tujuh hari lagi.

SPRM memberikan beberapa alasan bagi lanjutan reman itu termasuk mahu mengesan sejumlah wang dan barangan mewah lain.

Bagaimanapun, Mahkamah Majistret membenarkan reman dibuat sehingga esok sahaja.

“Mereka kata akan panggil Hishammuddin tidak lama lagi. SPRM juga akan mengesan dua putera raja Arab Saudi dalam kes yang Hasanah dan tujuh pegawai yang lain.

“Oleh sebab itu, SPRM memerlukan tempoh tujuh hari lagi,” katanya.

Shaharuddin berkata, Hasanah yang memberikan kenyataan di mahkamah menafikan pembabitan Hishammuddin dan dua putera Arab Saudi dalam kes itu.

Hasanah juga memaklumkan beliau hanya menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah MEIO di bawah perintah Kerajaan Malaysia.

Wanita itu ditahan oleh SPRM pada 28 Ogos lalu dan mendapat perintah reman selama lima hari pada keesokan harinya.

Shaharuddin yang membantah lanjutan tahanan reman Hasanah memberitahu mahkamah bahawa reman selama lima hari sudah mencukupi dan siasatan tidak boleh diletakkan di bahu Hasanah. – MalaysiaGazette