SHAH ALAM – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai tiada akhlak dan mengkhianati amanah rakyat selepas gagal menunaikan janji 100 hari.
Katanya, pimpinan PH tanpa segan silu berbohong dengan janji manifesto yang dihidangkan kepada rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dan kini enggan menunaikannya.
“Walaupun UMNO buruk di mata kita rakyat Malaysia, tetapi jangan kita ganti dengan seseorang menjanjikan sesuatu yang akhlaknya kosong. Bila bercakap dia bohong.
“Dia kata Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dipertahankan, senang-senang saja dia mansuhkan dan dia janji akan ganti BR1M. Mana dia? Kalau nak mansuh, bawa dulu yang baharu.
“Bila dia janji, dia bohong janji, manifesto bohong dan mereka tidak malu mengatakan tidak wajib laksana manifesto.
“Mereka tiada akhlak dan apabila diberi amanat, dia khianat kepada amanah,” katanya dalam Ceramah Mega Pilihan Raya Kecil (PRK) N32 Seri Setia di padang futsal, TTDI Jaya, di sini, malam tadi.
Nik Mohamad Abduh juga melahirkan rasa syukur apabila Pas tidak bersama PH untuk membentuk Kerajaan Persekutuan kerana bimbang akan parti Islam itu akan dipersoalkan rakyat di atas kegagalan menunaikan janji 100 hari.
“Alhamdulillah walaupun Pas tidak menang, tapi Pas merasai nikmat tidak bersama Kerajaan PH hari ini. Nak bina negara, Ibnu Khaldun kata, bina negara dengan akhlak, bila akhlak tiada, tiadalah negara, tiadalah tamadun.
“Nabi Muhammad SAW sebut apabila dia berbalah, dia melampaui batas. Kita ini berbalah dengan UMNO berpuluh tahun, tetapi adakah kita melampaui batas? Jawapannya tidak.
“Kita puji UMNO apa yang patut dipuji dan kita marah UMNO apa yang patut UMNO kena marah. Tapi apa yang berlaku kepada PH, bila dia marah benci kepada UMNO, dia benci dan marah sungguh-sungguh semua jadi abu dalam UMNO.
“Hari ini orang yang bercakap dan melampaui batas tengok bagaimana dia bina negara. 100 hari buruk dan selepas 100 hari buruk yang kita akan saksikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette