Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Pengguguran kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Lim Guan Eng dan kes-kes pendakwaan melibatkan pemimpin Pakatan Harapan kini menjadi satu trend membimbangkan.

Penarikan kes itu telah mengakibatkan kredibiliti Jabatan Peguam Negara (AGC) dipersoalkan apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat kes berkenaan terkejut dengan keputusan tersebut.

Apatah lagi, Peguam Negara, Tommy Thomas sendiri pernah mewakili Guan Eng dalam kes ini sebelum menjadi Peguam negara.

Ahli Parlimen Penggerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menuntut Peguam Negara menjelaskan perkara ini kerana persepsi buruk yang ditimbulkan ini adalah sesuatu yang bahaya dan mengancam doktrin pengasingan kuasa di Malaysia.

Ia juga akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem pentadbiran negara.

“Sememangnya kita tidak mempertikaikan kedudukan dan kuasa seseorang Peguam Negara untuk berperanan secara adil dan saksama seperti mana yang termaktub di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dimana kuasa budi bicara Peguam Negara adalah mutlak dan tidak boleh dicabar di mana-mana Mahkamah.

“Pada masa yang sama, kuasa budi bicara yang diperuntukkan tersebut hendaklah dilaksanakan dengan prinsip undang -undang dan tidak menyebelahi mana-mana pihak selain menimbang kepentingan awam.

“Beliau juga tidak wajar sewenang-wenangnya menyatakan tidak mencampuri kes ini dan melepaskan tanggungjawab tersebut kepada Peguam Cara Negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azalina berkata, pada 26 Mac 2018, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Rashid Daud dalam ucapan pembukaan dalam Mahkamah Tinggi Malaya di George Town di Pulau Pinang telah menyatakan bahawa pihaknya akan membuktikan bahawa Guan Eng sebagai penjawat awam telah membeli rumah daripada Phang Li Koon dengan harga yang diketahuinya di bawah nilai harga pasaran.

Semasa pembelian ini dibuat, Guan Eng telah membenarkan permohonan syarikat Li Koon untuk mengubah status tanah pertanian kepada tanah perumahan.

“Bagaimana sekarang Jabatan Peguam Negara boleh menyatakan bahawa tiada apa-apa kes terhadap kedua-dua mereka dan menarik-balik pertuduhan tersebut.

“Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal langsung dan mengambarkan Peguam Negara lantikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan sudah mula menyalahgunakan kuasa budi bicara yang diperuntukkan oleh undang-undang dan memberikan layanan istimewa dan pilih kasih kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan,” jelasnya.

Menurut Azalina, sudah beberapa kali di Parlimen sebelum ini beliau membangkitkan supaya Kuasa Peguam Negara dan Pendakwaraya diasingkan untuk mengelakkan campur tangan mana-mana pihak yang mana perkara sebegini akan dikhuatiri terus berlaku dan menjadi lebih parah di masa hadapan.

Ketua Unit Undang-Undang UMNO berkata, hari ini persepsi terhadap badan perundangan negara tercalar dan Kerajaan Pakatan Harapan harus mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini memandangkan prinsip ‘rule of law’ semakin terhakis.

“Peguam Negara wajib menjelaskan perkara ini memandangkan rakyat memerlukan penjelasan, apatah lagi SPRM sendiri terkejut dengan keputusan tersebut.

“Jangan bersembunyi di sebalik kuasa yang diperuntukkan di bawah 145(3) atau letak jawatan dengan segera tanpa menjejaskan lagi kredibiliti Jabatan Peguam Negara,” tegasnya yang turut menggesa Majlis Peguam Malaysia membuat satu mesyuarat tergempar mengenai perkara ini bagi menyatakan pendirian mereka. – MalaysiaGazette