Anthony
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap semasa sidang media berkenaan kadar baharu tambang penerbangan di Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, Menara 1 Sentrum, Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM, 4 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR- Kementerian Pengangkutan mengarahkan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) mengetatkan pemeriksaan di laluan-laluan VIP di semua lapangan terbang di dalam negara ini.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pengendali lapangan terbang itu perlu menyemak semula prosedur operasi standard mereka bagi semua laluan VIP selepas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid didakwa menggunakan laluan tersebut untuk membawa wang berjumlah RM49 juta ke dalam Malaysia.

“Saya telah mengarahkan MAHB menyemak semula SOP mereka berhubung penggunaan laluan VIP termasuk melihat semula siapa yang boleh melalui laluan tersebut serta menggunakan lounge.

“Sekarang pegawai kementerian pun boleh guna laluan VIP jadi selepas ini hanya individu tertentu sahaja yang boleh menggunakannya.

“Bagasi yang dimasuk ke perut pesawat juga perlu diperiksa dengan lebih teliti selepas ini,” katanya semasa sidang media di Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) di sini hari ini.

Semalam, Hasanah dibebaskan daripada tahanan reman selepas menjalani siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama enam hari bermula 29 Ogos lalu.

Beliau ditahan atas tuduhan salah guna kuasa dan penyelewengan dana pilihanraya umum ke-14.-MalaysiaGazette