MICCI
Naib Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Azrani Rustam bercakap pada sidang media di Pejabat MICCI Mont Kiara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 05 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR- Dewan Perdagangan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa khas yang terdiri daripada wakil Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Kastam, Kementerian Kesiharan, Polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ditubuhkan bagi menangani isu penyeludupan terutamanya produk tembakau dan alkohol.

Naib Presidennya, Azrani Rustam berkata, kerajaan kehilangan kira-kira RM8 bilion pendapatan setahun disebabkan kes-kes penyeludupan rokok dan minuman keras.

Katanya, sejak rokok dinaikkan beberapa tahun lalu, aktiviti penyeludupan semakin meningkat yang sekaligus merugikan syarikat rokok berdaftar dan kerajaan.

“Kami faham apabila kerajaan menaikkan harga rokok bagi menggalakkan perokok berhenti atas alasan kesihatan namun apa yang berlaku ketika ini, tindakan tersebut telah menggalakkan aktiviti penyeludupan perokok haram.

“Ini menyebabkan syarikat-syarikat rokok berdaftar mengalami kemerosotan hasil jualan dan kerajaan pula hilang pendapatan dari segi cukai.

“Jumlah RM8 bilion setahun itu adalah satu jumlah yang besar” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Justeru, dewan perdagangan itu mengharapkan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai pemegang taruh dapat mencari jalan penyelesaian yang menguntungkan semua pihak dan dalam masa yang sama memenuhi harapan kerajaan yang mahu mengurangkan bilangan perokok di negara ini.-MalaysiaGazette