Sebahagian pegawai tadbir dan diplomatik berikrar pada Program Town Hall bersama Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto MIRZA HASIM, 15 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Penjawat awam harus terus mempertingkatkan kecekapan, akauntabiliti, integriti, tadbir urus, ketelusan dan etika dalam pelaksanaan tugas bagi memperbaiki imej perkhidmatan awam yang tercalar akibat isu integriti dan tadbir urus.

Perkhidmatan awam yang berfungsi sebagai institusi pelaksana juga harus berada di barisan hadapan dalam menyantuni rakyat dan jurang antara perkhidmatan awam dan rakyat perlu ditutup supaya perasaan pemilikan dapat diresapi oleh semua lapisan masyarakat.

Ketua Setiausaha Negara, Dr. Ismail Bakar berkata, bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada negara, penjawat awam perlu bersedia melaksanakan perubahan dalam mengharungi segala bentuk halangan.

“Dalam mendepani cabaran dunia tanpa sempadan, setiap penjawat awam perlu menjadi pemimpin yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis, bukan hanya sebagai pengikut.

“Zaman di mana penjawat awam menuruti arahan membuta tuli telah berlalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Penjawat awam, pesannya juga harus memberi penekanan dalam aspek pengurusan kos yang lebih cekap dan berkesan bagi memastikan dana awam tidak disia-siakan.

Pemisahan kuasa di antara badan pemerintah, perundangan dan kehakiman perlu diutamakan dalam memastikan integriti perkhidmatan awam tidak lagi dipertikaikan.

Ismail berkata, pendekatan baharu ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya penjawat awam masih dibuai mimpi lama, sebaliknya perlu bertindak pantas berlandaskan prinsip bersih, cekap dan amanah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Janji je di awal perkhidmatan. Tapi lepas ni ikut balik telunjuk bos. Itu le yang berlaku saban tahun……

Comments are closed.