Mahathir Mohamad
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Presiden Pakatan Harapan di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 07 SEPTEMBER 2018

PETALING JAYA – Kerajaan Persekutuan masih belum melaksanakan dasar menghadkan pegangan saham oleh mana-mana pihak khususnya parti politik dalam syarikat media di negara ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah itu perlu dilaksanakan dalam pentadbiran baharu bagi mengelakkan ia disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu.

“Itu satu cara untuk mengelak daripada media ini diperalatkan oleh orang tertentu.

“Di mana-mana juga kita dapati ada saja pihak yang ingin menguasai media untuk kepentingan diri mereka.

“Sebab itu kita kurangkan pegangan ini, tapi kita belum laksanakan lagi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pimpinan PH di bangunan Yayasan Selangor, di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan untuk menghadkan pegangan saham kerajaan dan parti politik dalam syarikat berkaitan media di negara ini

Setakat ini, Utusan Melayu Berhad dan Media Prime Berhad antara media tempatan yang mempunyai pegangan saham dalam kalangan parti politik iaitu UMNO.

Sementara itu, mengulas kadar baharu gaji minima RM1,050 berbanding RM1,500 yang dijanjikan dalam manifesto PH, Mahathir berkata, kerajaan tidak berupaya menunaikannya pada masa ini kerana hutang negara terlalu tinggi.

“Ada yang berpendapat bahawa gaji minimum sepatutnya RM1,800 dan ada yang kata RM1,500.

“Kita berada dalam keadaan persekitaran kerana banyak daripada yang sepatutnya ada digunakan untuk bayar hutang besar, caj faedah perkhidmatan pun cukup besar

“Sebab itu kita tak boleh tingkatkan perbelanjaan kerajaan dan kita juga harus ingat kita sedang bersaing dengan negara-negara lain. Kalau kos kita meningkat dan terlalu tinggi, kita akan hilang daya saing kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast