Gelagat Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad semasa sidang selepas mempengerusikan Majlis Presiden Pakatan Harapan di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 07 SEPTEMBER 2018

PETALING JAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengkaji semula pelantikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pelantikan itu bukan keputusan muktamad dan ia masih boleh diubah serta dipertimbangkan semula selari dengan dasar PH.

“Isu UIAM ini, ramai (pihak) yang memberi pendapat dan kita selalu sensitif terhadap pendapat orang ramai dan kita akan kaji tentang pelantikan ini.

“Ini kerana ia (keputusan lantik) tidak terukir atas batu, kita boleh ubah pendirian kita,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pimpinan PH di bangunan Yayasan Selangor, di sini, hari ini.

Beliau mengulas pelantikan Maszlee sebagai Presiden UIAM ketujuh selama tiga tahun selepas diberi perkenan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah pada Rabu.

Menurut kenyataan Pejabat Komunikasi Korporat UIAM, Maszlee adalah calon ideal untuk jawatan tersebut kerana berpengalaman dalam universiti berkenaan sebelum ini.

Beliau merupakan seorang bekas pensyarah UIAM selain pernah mengetuai Persatuan Staf Akademik UIAM dalam memperjuangkan hak-hak dan menjamin kebajikan para pensyarah.

Bagaimanapun Maszlee telah menzahirkan komitmen untuk tidak menerima sebarang bayaran sepanjang tempoh memegang jawatan itu. – MalaysiaGazette