Foto Facebook Aishah.

KUALA LUMPUR – Dua syarikat korporat tampil menawarkan hadiah gantian kepada penyanyi Aishah yang kini berdepan kontroversi permata palsu diterimanya menerusi program Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

Jelas Aishah, sebuah syarikat produk kecantikan yang berhasrat menghadiahkan seutas gelang emas manakala ada pihak turut menawarkan mata wang crypto sebanyak 10 Dinar Dirham Koin (DDK) bersamaan RM8,500.

Penyanyi lagu Janji Manismu itu melahirkan rasa terharu dan terima kasih atas kesudiaan dua pihak berkenaan yang ingin memberi hadiah kepadanya.

Namun wanita berusia 53 tahun itu mengambil keputusan menolak tawaran itu.

“Alhamdulillah ada yang prihatin pada kes I, terharu sangat di atas tawaran untuk menghadiahkan I, DDK tetapi I terpaksa menolak tawaran tersebut. Jutaan terima kasih sekali lagi di atas keperihatinan anda,” katanya menerusi status Instagram miliknya.

Minggu lalu, Aishah membuat pendedahan dia masih belum menerima hadiah sebidang tanah lot banglo selepas hampir setahun menjadi juara GV4.

Malah penyanyi itu turut mendakwa, barang kemas hadiah daripada usahawan Datuk Seri Vida yang bernilai RM80,000 juga didapati palsu.

Sementara itu, menerusi posting berbeza, Aishah berkata, perjuangannya dalam membela haknya melebihi angka wang ringgit atau nilai sesuatu barangan.

Tegas Aishah, apa dilakukan bukan semata-mata untuk kepentingan diri sebaliknya membela teman-teman artis lain agar tidak diperlekehkan seperti mana terjadi kepadanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast